Gara-gara tidak tahan dengan layanan ketika menerima rawatan di sebuah pusat pemulihan dadah persendirian di Setiu, seorang penghuni pusat itu bertindak melarikan diri walaupun kakinya berantai.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan berkata, polis berjaya menahan lelaki berusia 35 tahun itu setelah penduduk berhampiran sebuah chalet di Merang menghubungi polis setelah curiga dengan kehadiran lelaki itu kira-kira pukul 6 petang semalam.
"Dengan bantuan penduduk kampung, polis berjaya memberkas lelaki berkenaan dan dibawa ke Balai Polis Setiu untuk siasatan lanjut,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, semalam.
Hasil siasatan, katanya polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah pusat pemulihan dadah di pantai Peranginan Merang, Setiu kira-kira pukul 10 malam semalam dan menemui dua penghuni masing-masing berusia 26 dan 30 tahun di dalam sebuah bilik dengan keadaan kaki berantai.
"Polis juga menahan seorang lelaki berusia 24 tahun yang merupakan penjaga pusat pemulihan berkenaan. Selain itu beberapa peralatan seperti gari turut dirampas,” katanya.
Manoharan berkata, kesemua penghuni itu membuat laporan di Balai Polis Setiu dan pemilik pusat pemulihan itu menyerah diri kira-kira pukul 2.30 pagi ini.
No comments:
Post a Comment