Program 'Payang Walk' yang dirancang diadakan antara Pusat Penerangan Pelancongan Terengganu dan Pasar Kedai Payang mampu menjadi pemangkin penting Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).
Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu PPNT Wan Mohd Sofian Wan Ishak berkata Payang Walk adalah tempat berjalan kaki yang kiri kanannya mempunyai pertunjukan kebudayaan, jualan kraf, cendera hati dan laman seni menampilkan program seperti melukis dan nyanyian.
"Mengikut perancangan awal kerajaan negeri, Payang Walk akan dilancarkan sebelum TMT 2013 iaitu Oktober ini dan beroperasi tiga kali seminggu pada Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula 6 petang hingga 12 tengah malam," katanya kepada pemberita pada Majlis Hari Raya PPNT di Kuala Terengganu, semalam.
Wan Mohd Sofian berharap produk pelancongan baru itu diharap dapat menyelesaikan masalah pelancong yang datang ke negeri ini, tetapi tidak ada aktiviti pada waktu malam.
"Ini kerana semua kedai akan tutup selepas jam 6 petang, manakala pelancong yang berada di Terengganu, tidak ada apa-apa aktiviti pada waktu malam.
"Pentas kebudayaan akan ditempatkan di Bazar Warisan yang ada di situ. Kita sebenarnya ada banyak pentas untuk mengadakan persembahan kebudayaan, namun sehingga ini tidak ada pengisian," katanya.
Wan Mohd Sofian turut menyatakan komitmen PPNT bagi membantu Kerajaan Terengganu bagi merealisasi dan menjayakan TMT 2013.
"PPNT berharap kerajaan negeri memberi peranan yang penting kepada anggota persatuan itu di samping badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi dalam usaha menjayakan TMT2013," katanya.
"Saya sebagai Pengerusi PPNT dan Pengerusi Agensi Pelancongan Negeri Terengganu (Matta) bersama ahli, bersedia memikul tanggongjawab apa juga peranan diberi supaya TMT 2013 dapat dilaksanakan dengan jayanya," katanya.
No comments:
Post a Comment