Thursday, September 6, 2012

Projek Ternakan Udang Bernilai RM1.8b, Wujudkan 1,000 Peluang Pekerjaan


Kerajaan Terengganu semalam meluluskan tanah seluas 1,090 hektar di Merchang, Marang, bagi projek akuakultur ternakan udang putih dijangka bermula sebelum akhir tahun ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata projek melibatkan pelaburan kira-kira RM1.8 bilion itu adalah usahasama Ocean Aquatic Marine (M) Sdn Bhd dari Malaysia dan Zhanjiang Guolian Aquatic Products Co Ltd dari China.

"Apabila ladang udang itu beroperasi kelak, ia mampu memberi peluang pekerjaan kepada lebih 1,000 orang, terutama masyarakat tempatan."

"Dengan pelaburan yang besar itu kita sasarkan Terengganu mampu menjadi pengeluar udang terbesar di negara ini," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabat daerah di Kuala Berang semalam.

Ahmad Said dan isteri turut menghadiri Majlis Raya Perdana Daerah Hulu Terengganu di Padang Astaka, selepas mesyuarat Exco berkenaan.


Lebih 15,000 rakyat sekitar Kuala Berang menghadiri majlis yang turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah, Exco Kerajaan Negeri serta pegawai tinggi kerajaan negeri dan daerah.

Menteri Besar menjelaskan, projek itu dijalankan hasil kerjasama dengan sebuah syarikat pengeluar udang terbesar di China yang telah memeterai perjanjian sebelum ini.

"Insya-Allah ia akan bermula tahun ini juga dan kita yakin dengan adanya projek tersebut, bakal memberi peluang pekerjaan kepada kira-kira 1,000 orang, khususnya penduduk setempat.

"Pada masa sama, saya percaya akan ada lagi syarikat luar yang berminat untuk melabur dalam projek ternakan udang di negeri ini," katanya.

Katanya, syarikat berkenaan yang bakal mengadakan usahasama dengan syarikat tempatan akan melaksanakan projek tersebut di Kampung Pasir Putih.

Syarikat tersebut merupakan pengeluar udang terbesar di negara China dan mempunyai rangkaian pasaran meluas di negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan negara China sendiri.

“Sebelum ini, kerajaan negeri sudah meluluskan permohonan projek ternakan udang bersepadu di Setiu yang dikenali sebagai ‘Intergrated Shrimp Aquaculture (i-SHARP) yang dilaksanakan oleh Syarikat Blue Archipelago Berhad di kawasan seluas 1,000 hektar,” katanya.

Projek berkenaan akan mula beroperasi pada tahun 2014 dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada 1,140 penduduk di sekitar daerah Besut dan Setiu.

Menteri Besar berkata, selepas kedua-dua projek ini beroperasi dalam tempoh beberapa tahun akan datang, Terengganu bakal menjadi pengeluar udang terbesar di negara ini.

 “Inilah usaha yang dilakukan Kerajaan Barisan Nasional untuk menarik pelabur asing datang ke Terengganu dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Utusan, Bernama & Teganukita

No comments:

Post a Comment