Regu Projek Akademi Sepak takraw Terengganu (Pasta) muncul juara Kejohanan Sepak takraw Terbuka KFC/Utusan kategori bawah 20 tahun peringkat Zon Timur setelah menewaskan regu Gastep dengan mata 2-0 di Stadium Negeri, baru-baru ini.
Pasta yang diwakili Md Shahmi Husin selaku tekong, Md Hafizudin Wahab (apit kanan) dan Md Faiz Jalal (apit kiri), mara ke pusingan akhir setelah menundukkan regu Seberang Takir dengan kiraan mata 15-7 dan menewaskan regu dari Politeknik Kota Bharu dengan mata 15-9 dan 15-8 di peringkat suku akhir.
Selaku juara kejohanan, Pasta membawa pulang hadiah tunai RM2,000 dan trofi dan berjaya melangkah ke peringkat akhir kejohanan antara zon pada 12 - 13 Oktober ini, di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam.
Ketua Jurulatihnya, Yahya Mohd berkata, kesefahaman yang wujud sejak lima tahun lalu dalam kalangan pemain menjadi kunci utama kejayaan mereka selain pendedahan dalam menyertai pelbagai kejohanan antaranya termasuklah Majlis Sukan Sekolah Terengganu (MSST),
Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) serta terbuka Terengganu.
Menurutnya, ketiga-tiga mereka sering digandingkan sejak mula menyertai program akademi sepak takraw yang berpusat di Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Midin, malah mereka ini juga merupakan atlet pelapis Sukma Terengganu.
“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati terhadap prestasi yang dipamerkan ketiga-tiga atlet kita, malah ketajaman servis kuda yang dimiliki Mohd Shahmi merupakan senjata utama pasukan dalam meraih mata.
“Gaya permainan yang konsistensi dan kekuatan rejaman pelibas utama Md Hafizudin menjadi tonggak kekuatan pasukan dalam memenangi semua perlawanan dengan ‘straight set’,” katanya.
Menurut Yahya,pasukannya giat menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan akhir bulan depan dengan memperbaiki kelemahan yang ada.
Katanya, beliau tidak meletakkan sasaran yang tinggi dan mengharapkan sekurang-kurangnya mereka mampu mara ke peringkat separuh akhir, sekiranya layak ke pertandingan akhir, ia adalah satu bonus kepada pasukan.
No comments:
Post a Comment