Siasatan terhadap penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramli semakin rancak apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan ujian poligraf (pengesan pembohongan) terhadapnya Jumaat lalu.
Perkembangan terbabit disahkan Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain yang menegaskan langkah terbabit dilakukan bagi mencari kebenaran.
“Ujian itu dilakukan Unit Forensik SPRM Kuala Lumpur kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang ini. Ia dijalankan terhadap Mohd Sharbinee bagi menentukan apa yang diperkatakan olehnya adalah benar atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi petang semalam.
Penjaga gol berusia 26 tahun itu dipalit kontroversi apabila cubaan menolak keluar bola sepakan penjuru kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar pada minit ke-62 dalam aksi saingan Kumpulan B Piala Malaysia baru-baru ini sebaliknya menyebabkan bola masuk ke dalam gawang sendiri hingga mencetuskan pelbagai tuduhan liar terhadapnya termasuk menjual perlawanan.
Jaringan itu menyebabkan Terengganu terikat 1-1 hingga tamat perlawanan sekali gus menutup peluang skuad kendalian Peter Butler itu mara ke suku akhir Piala Malaysia pada musim ini.
“Kami hanya menjalankan ujian ke atas Mohd Sharbinee. Tiada individu lain,” katanya.
Ditanya mengenai keputusan ujian poligraf itu, Md Yusoff bagaimanapun tidak dapat memberi komen lanjut kerana belum menerima keputusannya.
Insiden yang menimpa penjaga gol kebangsaan itu dilihat menambah duka bola sepak Terengganu selepas digemparkan dengan insiden dua pemain pasukan itu, Mohd Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha’ri yang didakwa Butler melanggar disiplin apabila pulang lewat ke bilik hotel serta membawa pulang wanita.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment