Tuesday, September 4, 2012
Siti Amirah Berhenti Kerja Demi Ayah Menghidap Sakit Buah Pinggang
Ketika rakan seusianya sibuk menikmati kehidupan dunia remaja, berbeza pula bagi seorang gadis, Siti Amirah Ghazali, 21, apabila dia terpaksa mengorbankan semua itu demi menjaga ayah tercinta yang terlantar sakit akibat sakit buah pinggang kronik.
Mengakui hatinya tidak kesal dengan jalan yang dipilihnya itu, apatah lagi kesihatan dan kebajikan ayah yang telah banyak berkorban untuk membesarkan dia dan adiknya, Siti Puspawati, 18, belum tentu cukup terbalas dengan pengorbanan ‘kecil’ nya itu.
Malah, akibat sakit ayahnya bertambah teruk sejak beberapa bulan belakangan ini, Siti Amirah turut nekad berhenti kerja untuk membantu menguruskan kehidupannya ayahnya yang memerlukan bantuan hampir setiap masa.
“Sebelum ini saya bekerja sebagai pembantu kedai makan berdekatan rumah, namun setelah penyakit ayah bertambah teruk sejak beberapa bulan yang lalu saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja kerana tiada siapa lagi yang boleh diharapkan untuk menguruskan ayah di rumah.
“Kini, tugas menyara keluarga terletak sepenuhnya di bahu adik (Siti Puspawati) yang bekerja di tempat yang sama dengan saya sebelum ini, dengan hasil pendapatan yang diperolehnya itulah digunakan untuk segala perbelanjaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Teluk Ketapang.
Siti Amirah ditemui ketika menerima kunjungan Adun Seberang Takir, Ahmad Razif Abd Rahman yang menyampaikan replika cek Dana Perubatan Negeri Terengganu berjumlah RM18,127.
Buntu untuk bawa ayah jalani hemodialisis Kata Siti Amirah, setelah disahkan sakit ayahnya yang dulu bekerja sebagai pemandu lori kargo telah berhenti kerja sejak lebih lima tahun lalu dan segala keperluan perubatan dan makan minum ayahnya hanya mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diperoleh RM200 sebulan.
"Ayahnya mula diserang penyakit berkenaan lima tahun lalu, namun penyakitnya bertambah kronik apabila secara tiba-tiba koma dan tidak sedarkan diri hampir dua bulan.
“Ketika menjalani rawatan, doktor mengesahkan terdapat darah beku di kepala ayah dan memerlukan pembedahan segera dan pada 29 April lalu ayah selamat menjalani pembedahan, tetapi tidak sedarkan diri selama dua bulan serta terpaksa ditahan di wad,” katanya yang turut menanggung beban membayar rumah sewa yang didiami mereka sekeluarga sebanyak RM150 sebulan.
Menurut Siti Amirah, meskipun kini telah sedarkan diri, namun keadaan ayahnya masih membimbangkannya kerana dia buntu memikirkan cara untuk menghantar ayahnya menjalani hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu.
Bagaimanapun, dia sangat gembira dan terharu dengan pemberian sumbangan berkenaan kerana sedikit sebanyak mampu menampung perbelanjaan bapanya terutamanya bagi membeli lampin pakai buang dan susu yang memerlukan kos tinggi.
Ahmad Razif Abd Rahman berkata pihaknya akan memantau keperluan keluarga malang berkenaan selain akan berbincang dengan pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Negeri Terengganu untuk mendapatkan khidmat bantuan ambulans bagi menghantar Ghazali dan mana-mana penduduk yang sakit terlantar memerlukan rawatan di hospital.
“Insya-Allah, kita akan memanggil wakil JPAM dalam masa terdekat ini menghadiri mesyuarat khas untuk berbincang mengenai jadual untuk rawatan di hospital mana-mana penduduk yang tidak mempunyai kenderaan dengan harapan mereka dapat dibantu sepenuhnya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment