Tuesday, September 4, 2012

Peteh Mahu Pemain 'Khianat' Pasukan Disingkir

Pergaduhan yang menyebabkan Forkie Doe dilayangkan kad merah.
Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu (Peteh) mendesak Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengambil tindakan tegas terhadap pemain yang "khianat" kepada pasukan.

Setiausahanya Wan Mohd Azmi Wan Ngah berkata ini termasuk menyingkir pemain yang tidak berdisiplin dan setia.

"Kita desak PBNST tidak perlu lagi menyimpan pemain seumpama ini kerana pasukan Terengganu akan lebih teruk sekiranya semakin lama pemain sedemikian disimpan," katanya.


 Beliau berkata pemain yang tidak jujur bukan sahaja memalukan rakan sepasukan mereka tetapi juga merosak reputasi kerajaan negeri yang begitu komited dengan pembentukan kecemerlangan pasukan Terengganu.

Pada masa yang sama, Peteh mahu pihak jurulatih atau pegawai PBSNT tidak sewenang-wenang membuat kenyataan berunsur negatif mengenai pasukan kepada media.

Terengganu dilanda kontroversi termasuk mengenai masalah antara pemain dengan jurulatih dan pergaduhan pemain dengan pasukan lain dalam kejohanan Piala Malaysia yang sedang berlangsung.

Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh  mememinta pemain 'berhenti jika tak nak bermain'. "Inilah masalah pemain, kalau rasa tak nak main, berhenti sajalah" Demikian amaran  berhubung konflik membabitkan jurulatih skuad Penyu, Peter Butler dengan beberapa pemain pasukan itu ketika ini.

Che Mat turut merujuk kepada 'insiden' terbaru antara Butler dengan penjaga gol Terengganu, Ahmad Sharbinee Allawee yang hampir mencetuskan pergaduhan pada aksi Piala Malaysia Terengganu menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di Kuala Terengganu,  kelmarin.

Sebelum itu, jurulatih berasal dari England itu mengeluarkan kenyataan mengejutkan untuk menyingkirkan dua pemainnya, Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Asha'ari kerana masalah disiplin dan lain-lain kesalahan menjelang perlawanan menentang Kedah di Alor Setar tempoh hari.

Che Mat menegaskan, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemain yang banyak kerenah sehingga menimbulkan masalah kepada pasukan.

Malah tegasnya lagi, beliau bersedia 'menunjukkan laluan keluar' kepada pemain yang 'bermasalah' untuk tidak lagi menyertai pasukan di bawah naungannya .

"Letaklah mana-mana jurulatih yang bagus sekali pun, kalau ada pemain yang sebegini (bermasalah), ia tetap sama juga, tak jadi apa juga. "Dalam hal ini, kita tak boleh dengan mudah menyalahkan jurulatih, mentang-mentanglah dia (jurulatih) hanya seorang sedangkan pemain dalam jumlah yang ramai.

"Begitu juga dengan nasib seorang pengadil yang terpaksa mengawal ramai pemain dalam satu-satu perlawanan dan dia (pengadil) sering juga dipersalahkan," jelasnya.

Che Mat seterusnya memohon kerjasama semua pihak terutama para peminat bola sepak tempatan supaya tidak membuat sebarang andaian terhadap konflik antara jurulatih Terengganu dengan anak buahnya. Ini kerana, katanya, sebarang andaian tanpa asas tepat dikhuatiri menjejaskan komitmen pasukan dalam usaha mengharungi perlawanan seterusnya.

"Biarlah selesai satu persatu, masalah membabitkan Muslim dan Ismail akan kita tentukan nanti, biarlah selesai Piala Malaysia dulu. Terbaru, timbul pula masalah antara jurulatih dengan Sharbinee, ini perkara biasa lah," tambahnya.

Pada perlawanan Terengganu menentang Kedah malam kelamrin, Butler dan Sharbinee bertikam lidah selepas jurulatih itu bertindak mengeluarkan penjaga gol tersebut yang gagal mengawal gawang sehingga kapten pelawat, Baddrol Bakhtiar menghasilkan jaringan.

Dalam situasi tegang antara mereka berdua, Sharbinee dilihat melemparkan botol minuman ke arah Butler sebelum dapat dileraikan pegawai pasukan.

No comments:

Post a Comment