Sunday, September 9, 2012

SPRM Gagal Cari Bukti Sharbrinee Terbabit Rasuah Bolasepak



Kegagalan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencari bukti dalam siasatan terhadap penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli kerana didakwa menjual perlawanan jelas tidak mengejutkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Abdullah Salleh.

Walaupun ramai yang membuat andaian Sharbinee mengatur perlawanan selepas Terengganu seri dengan Kedah 1-1 minggu lalu selepas penjaga gol berusia 25 tahun itu menampan bola mudah ke dalam gol sendiri, Abdullah tetap percaya itu adalah kesilapan yang tidak disengajakan.


Bukan SPRM saja yang melakukan siasatan ke atas Sharbinee, sebaliknya kami di PBSNT turut melakukannya apabila menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat pemain kami yang mengatur perlawanan.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada lagi pemain kami yang terbabit dengan gejala tidak sihat itu, katanya semalam.

Beliau mengulas laporan BH Sukan semalam mengenai keterangan yang diambil SPRM daripada pemain, jurulatih dan pegawai pasukan Terengganu belum menemui bukti wujud gejala rasuah pada perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia itu.

Menurut sumber, maklumat yang diambil daripada saksi cuma menunjukkan jaringan penyamaan Kedah itu berpunca daripada kesilapan penjaga gol itu ketika cuba menguis bola keluar, yang kemudian masuk ke gol sendiri.

Abdullah berkata, kebanyakan pemain Terengganu sudah dikenali sejak mereka di bangku sekolah dan boleh dikatakan, mereka membesar di bawah pemerhatian PBSNT apabila memasuki akademi bola sepak sebelum diserap ke dalam pasukan Liga Piala Presiden dan seterusnya pasukan utama.

Mungkin ramai yang terbabit dalam pasukan terutama jurulatih, Peter James Butler, tidak mengenali secara dekat dengan pemain seperti Sharbinee sekali gus tidak dapat menerima kesilapan yang dilakukannya sehingga menyangka mungkin penjaga gol itu menjual perlawanan, katanya.

Katanya, isu menjual perlawanan itu timbul pada tahun ini kerana Terengganu gagal mencapai keputusan memberangsangkan dalam saingan Liga Super, Piala FA, Piala AFC dan yang terakhir, Piala Malaysia.

Tahun lalu, tiada siapa pun yang menuding jari ke arah pemain kami dan menuduh mereka mengatur keputusan perlawanan kerana penyokong pasukan berpuas hati apabila kami berjaya menjadi juara Piala FA, naib juara Liga Super dan naib juara Piala FA.

Semua itu sudah menjadi lumrah kehidupan di mana ada pihak enggan menerima kekalahan dan mereka lebih rela mencari kesalahan orang lain, katanya.

No comments:

Post a Comment