Kolej Universiti Tati (TATiUC) melancarkan Pelan Strategik Tatiuc 2012-2016 yang menjadi hala tuju dan panduan untuk semua warga kerjanya merealisasikan hasrat menjadi sebuah universiti menjelang 2016.
Pengerusi Lembaga Pengarah TATiUC , Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pelan berkenaan menggarap lapan strategi merangkumi aspek yang diperlukan sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT).
Katanya, strategi pertama adalah meningkatkan kecemerlangan insan agar kualiti pelajar ditingkatkan, melahirkan graduan yang memenuhi keperluan industri, melahirkan usahawan tekno yang kompeten dalam bidang terkini di industri dan meningkatkan keupayaan serta kualiti pekerja.
“Strategi kedua adalah memantapkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya jumlah penuntut yang cemerlang akademik dapat ditingkatkan serta memastikan program akademik relevan dengan keperluan pasaran semasa kerana situasi kini menggambarkan sebahagian besar siswazah tidak dapat penuhi kehendak industri.
“Manakala, memperkasakan inovasi melalui penyelidi-kan adalah strategi yang ketiga. Penyelidikan sahaja tidak penting tetapi pembaharuan dalam penyelidikan itu yang paling mustahak,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pelan itu yang diadakan serentak dengan majlis makan tengah hari sempena Majlis Konvokesyen Tatiuc Kali Keenam 2012 di Awana Kijal Golf, Beach & Spa Resort, dekat sini, semalam. Pelancaran pelan disempurnakan Canselor Tatiuc, Tan Sri Datuk Ir (Dr) Wan Abdul Rahman Wan Yaacob.
Hadir sama, Pemangku Rektor Tatiuc, Dr Zunaidi Ibrahim dan penyelaras projek pelan itu merangkap Timbalan Rektor (Hal Ehwal Korporat dan Jaringan Industri Tatiuc, Datuk Zulkifli Mohamad.
Mengulas lanjut, Ahmad Razif memberitahu, strategi keempat pula adalah penjenamaan kerana hari ini banyak IPT wujud di negara ini.
Katanya, sebagai sebuah IPT yang sudah lama wujud, Tatiuc perlu membangun, meningkatkan imej korporat dan perlu menganjurkan aktiviti penjenamaan yang intensif serta ekstensif.
Budaya pengurusan yang cemerlang menjadi strategi kelima yang digubal dan ia perlu ditanam dalam diri setiap warga kerja Tatiuc kerana melalui amalan kerja cemerlang dapat melahirkan siswazah cemerlang, katanya.
Katanya, pengurusan kewangan yang efisien dan efektif juga ditekankan agar sekurang-kurangnya pada 2016 nanti mereka dapat berdikari dan mempunyai sumber kewangan mencukupi sementara strategi ketujuh adalah menyediakan kemudahan serta infrastruktur yang kondusif.
“Strategi terakhir adalah perkongsian pintar dan pengantarabangsaan sama ada dengan rangkaian institusi lain baik dari dalam negara mahupun luar negara.
“Kini Tatiuc berjaya menjalankan perkongsian hingga ke peringkat global. Dengan strategi ini kita mahu meningkatkan jumlah penuntut antarabangsa dan mengantarabangsakan kepakaran pekerja akademik,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment