Monday, September 10, 2012

Terengganu Anjur Pertandingan Citra Bot Berhias

Kerajaan negeri Terengganu akan menganjurkan pertandingan ”Citra Bot Berhias” sempena perasmian Payang Walk berhampiran Pasar Kedai Payang di sini, pada 6 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Terengganu, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said berkata, pertandingan berkonsepkan pelancongan itu bakal disertai semua pejabat daerah di negeri itu serta beberapa jabatan kerajaan.

"Bagi daerah, terpulang kepada mereka apa yang ingin ditonjolkan untuk menepati tema keindahan dan kebudayaan di daerah masing-masing untuk diselarikan dengan konsep Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013.

 "Mereka juga boleh memasukkan elemen Satu Daerah Satu Industri untuk menampilkan keistimewaan daerah itu yang boleh menarik kedatangan pelancong,” katanya kepada pemberita.

Beliau menyatakannya pada Majlis Jamuan Aidilfitri Kementerian Pelancongan Malaysia negeri Terengganu dan Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu, di Kuala Terengganu, semalam.

No comments:

Post a Comment