Sunday, September 9, 2012

Ahmad Said Lawat Mangsa Kebakaran Di Wakaf Tengah Petang Ini

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dijangka akan melawat mangsa kebakaran membabitkan lima rumah teres setingkat di Taman Perumahan Kos Rendah Wakaf Tengah, di Kuala Terenganu, tengah hari semalam, petang ini.

Beliau dijangka bertemu mangsa dan mendapatkan maklumat mengenai kejadian. Dijangkakan Ahmad Said akan turut mengumumkan bantuan kepada mangsa.

Dalam kejadian itu tiga rumah teres hangus manakala dua lagi berjaya diselamatkan anggota bomba dengan bantuan orang ramai.

Kebakaran dipercayai berpunca dari rumah di bahagian tengah yang terbakar sebelum api merebak ke empat lagi rumah bersebelahan.

Semalam, kegembiraan empat pelajar wanita tahun dua Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang baru berpindah pada Sabtu ke sebuah rumah teres di kampung itu bertukar tragedi apabila rumah sewa mereka itu bersama dua rumah lain hangus terbakar.

Salah seorang pelajar, Fatim Nor Zafirah Anuwar, 20, pelajar jurusan biosains berkata beliau bersama rakannya itu baru sahaja selesai memunggah barangan mereka seperti pakaian, buku dan komputer ke dalam rumah.

"Tiba-tiba kami dikejutkan dengan kejadian kebakaran itu. Saya tergamam dan tidak sempat menyelamat sebahagian daripada barang-barang kami seperti buku dan printer.

"Saya sedih sangat kerana tidak dapat menyelamatkan barangan kami, namun bersyukur kerana kami semua selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya kepada pemberita.

Dalam kejadian itu dilaporkan berlaku lebih sepuluh kali letupan tong gas menyebabkan beberapa penduduk ketakutan.

“Saya cuba berjalan bagi menyelamatkan diri namun tidak berdaya dan hanya mampu merangkak keluar dari rumah,” kata Ya Hafisah Omar, 49, yang terselamat daripada kebakaran membabitkan lima rumah teres setingkat di Taman Perumahan Kos Rendah Wakaf Tengah, semalam.

Menurut Ya Hafisah yang tinggal sejak enam tahun lalu, pada mulanya dia hanya melihat kepulan asap muncul dari bahagian bumbung dapur rumahnya.

Namun, katanya, api marak dan mula merebak serta menyambar seluruh dapur rumah menyebabkan dia bergegas menyuruh anaknya, Wan Nor Aznil Wan Nor Abidin, 18, dan Wan Nor Azlinda, 26, yang masih dalam keadaan berpantang selepas melahirkan bayi supaya menyelamatkan diri.

Bernama & Harian Metro

No comments:

Post a Comment