Kerajaan negeri Terengganu melalui Tabung Dana Sosial Perubatan menyumbang RM18,127 kepada seorang penghidap penyakit kronik.
Sumbangan diberikan kepada Ghazali Abdullah, 55, oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman di rumah Ghazali di Teluk Ketapang dekat Kuala Terengganu.
Ghazali sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori, menghidap sakit buah pinggang sejak lima tahun lalu dan kini bergantung kepada dua orang anak perempuannya, Siti Amirah, 21, dan Siti Puspawani, 18, untuk menyara mereka bertiga.
Dia yang kini tidak boleh bercakap terpaksa menggunakan lampin pakai buang dan perlu berulang alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan susulan tiga kali seminggu.
Siti Amirah berkata bapanya kini hanya terlantar di katil selepas keluar dari HSNZ sejak 25 Ogos lalu setelah menjalani pembedahan otak akibat darah
beku.
"Ayah saya dimasukkan ke HSNZ dan disahkan doktor turut menghidap darah tinggi dan masalah paru-paru, seterusnya ditahan wad selama empat bulan dan mulai koma Jun lalu setelah menjalani pembedahan otak.
"Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan di sini dengan pendapatan harian RM20 bagi memastikan ayah tidak terabai," katanya kepada pemberita.
Walaupun tidak mampu berbicara, Ghazali masih menunjukkan reaksi terhadap pertanyaan Ahmad Razif tentang sakit yang dialaminya.
Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir berkata beliau akan berbincang dengan pihak lain bagi memastikan Ghazali dapat dihantar ke HSNZ untuk rawatan susulan.
"Pusat Khidmat DUN Seberang Takir akan cuba menyelesaikan masalah kenderaan dengan meminta kerjasama dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) untuk membantu menghantar Ghazali ke HSNZ.
"Malah saya berharap kesemua pihak terbabit akan dapat memberi bantuan dengan menggunakan van atau kereta bagi menghantar pesakit di Seberang Takir ini ke hospital sekiranya keadaan memerlukan," katanya.
Ahmad Razif juga berkata beliau sudah mengarahkan kakitangannya untuk memohon peruntukan dari Tabung Darul Iman bagi Siti Amirah yang terpaksa berhenti kerja supaya menerima RM400 sebagai sumbangan bulanan.
"Keluarga ini telah menerima bantuan RM1,800 dari tabung itu untuk menampung kos ulang-alik ke hospital sebelum ini. Malah kos perubatan Ghazali yang dijangka menelan belanja lebih RM36,000 setahun akan disumbangkan oleh Dana Sosial Perubatan," katanya.
No comments:
Post a Comment