Wednesday, September 5, 2012

Terengganu, T-Team Terkeluar Daripada Saingan Piala Malaysia...

Kallang Tee dikerumuni pertahanan ATM pada perlawanan di Kuala Terengganu, semalam.
Beberapa keputusan mengejutkan berlaku pada perlawanan kelima Piala Malaysia dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya muncul pasukan tunggal mengesahkan ke suku akhir Piala Malaysia apabila menewaskan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Penyerang Pahang, Hafiz Kamal (tengah) diasak dua pemain pertahanan Selangor dalam saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam tadi. Selangor menang 4-1.
Dalam satu lagi saingan lain, rekod gah tanpa kalah skuad Tok Gajah pada Piala Malaysia akhirnya lebur apabila tumbang 1-4 kepada Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan dengan sudah pun ketinggalan 0-2 pada babak pertama.

 Selepas selesai perlawanan kelima malam ini, kedudukan saingan dalam keempat-empat pasukan nyata tidak berubah.



Hanya terdapat perubahan dari segi kutipan mata setakat ini. Pun begitu tujuh pasukan tersebut iaitu Lions XII dan Johor FC (Kumpulan A), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kelantan (Kumpulan B), Negeri Sembilan (Kumpulan C) serta Pahang dan Selangor dalam Kumpulan D berada dalam kedudukan selesa.

Juara Liga Perdana musim ini, ATM terus mendominasi Kumpulan B dengan pungutan 10 mata setelah berjaya menambah tiga mata penuh menerusi kemenangan 2-0 ke atas Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Dua gol skuad bimbingan B. Sathianathan itu dijaringkan dua penyerang importnya iaitu Marlon Alex James pada minit ke-74 dan Bruno Sebastien Martelotto pada minit ke-87.

ATM meranapkan impian finalis Piala Malaysia musim lalu, Terengganu untuk mara ke suku akhir dalam aksi yang penuh mendebarkan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Penyerang import ATM, Marlon Alex James dan Sebastian Martelotto muncul wira pelawat apabila masing-masing menemui sentuhan jaringan dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan.

Turun dengan misi mencari mata penuh, tuan rumah bermula garang dengan diiringi sorakan padu lebih 10,000 penyokong setia mereka.

Bagaimanapun, beberapa peluang gol yang terhidang khususnya oleh gandingan penyerang, Abdul Hadi Yahaya dan Ashaari Shamsudin gagal disempurnakan.

Bermula babak kedua, ATM mula mempamerkan aksi yang lebih tersusun untuk memburu jaringan. Hasilnya, Marlon berjaya memperdayakan pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan leret melepasi jangkauan penjaga gol tuan rumah, Md. Sharmiza Yusof pada minit ke-73 perlawanan.

Martelotto kemudian menamatkan impian tuan rumah dengan gol kemenangan tujuh minit sebelum tamat perlawanan, sekali gus memusnahkan terus harapan tuan rumah untuk mara ke peringkat seterusnya. Sebaik perlawanan tamat, beberapa kekecohan berlaku di dalam dan luar padang namun kehadiran sepasukan anggota polis serta Unit Simpanan Persekutuan (FRU) berjaya mengawal keadaan menjadi lebih buruk.

Penyerang Sarawak, Bobby Gonzales (kanan) diasak pemain T-Team, Mohd. Shahrul Ezrain (tengah) dalam saingan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Negeri, Kuching, malam tadi. Sarawak menang 6-1.

Di Stadium Negeri, Sarawak berpesta gol membelasah T-Team 6-1 bagi menghidupkan kembali peluang dan perlu menewaskan Selangor pada perlawanan terakhir jika mahu layak ke saingan suku akhir.

Pemain import Bujang Senang, Joel Epalle menjadi penyumbang dua gol pada minit ke-42 dan 65 sementara jaringan lain disumbangkan Azizan Baba (minit ke-57), Bobby Gonzales (minit ke-72), Rashid Aya (minit ke-75) dan Shaharudin Yaakob (minit ke-82) manakala Zairo Anuar Zailani menghadiahkan gol sagu hati buat T-Team pada masa kecederaan.

Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor kembali menghidupkan semula misi merangkul kejuaraan kali ke-33 setelah mencatat kemenangan selesa 4-1 ke atas Pahang dalam Kumpulan D di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Kehadiran Mohd. Amri Yahyah jelas menjadi kunci kekuatan Red Giants apabila berjaya menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-14 diikuti tandukan kencang Bosko Balaban pada minit ke-32 sebelum Amri sekali lagi bertindak pemusnah Pahang jaringan ketiga pada minit ke-50.

Rozaimi melengkapkan pesta gemilang Selangor pada minit ke-54 dan jaringan penalti Mohd. Hafiz Kamal pada minit ke-70 selepas bola terkena tangan Adib Aizuddin Abdul Latif jelas tidak banyak memberikan apa-apa makna kecuali meletakkan Pahang masih kekal sebagai pendahulu Kumpulan D.

Sementara itu, gol pada masa kecederaan oleh Helmi Loussaief memastikan sisa harapan masih ada buat PKNS selepas berjaya mencipta kejutan mengalahkan pendahulu Kumpulan A, Lions XII 1-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kejutan turut berlaku di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin apabila skuad abang, Johor melakar kemenangan bergaya 3-1 ke atas Johor FC.

Muriel Juan Orlando membuka tirai jaringan buat Johor pada minit ke-17 melalui sepakan penalti apabila dijatuhkan Jasazrin Jamaludin sebelum gerakan solo pemain pinjaman dari skuad Harimau Muda B, Muhd. Haidin Azman memastikan Johor selesa mendahului 2-0 pada minit ke-38.

Haidin terus menambah derita pasukan Johor FC pada minit ke-50 apabila berjaya memperdaya Muhd. Zamir Selamat hasil rembatan leret dari sebelah kiri pintu gol untuk menjadikan kedudukan 3-0 dan gol tunggal skuad Lebah disumbangkan Arthur Henrique pada minit ke-61.

Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, hasrat Sime Darby meraih kemenangan tidak kesampaian apabila diikat Negeri Sembilan 1-1 manakala Felda United menyekat hajat Perak dengan keputusan seri 2-2 di Stadium Hang Jebat.

Juara Liga Super, Kelantan terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila seri tanpa jaringan dengan Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar dan perlu menunggu perlawanan terakhir jika mahu mengesahkan tempat ke suku akhir.

No comments:

Post a Comment