Sunday, September 23, 2012

Terengganu Wujud Dana Khas Pertanian Tahun Depan


Kerajaan negeri Terengganu akan mewujudkan satu dana khas untuk membantu petani tempatan dalam usaha menggiatkan keberhasilan bidang pertanian di negeri itu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Asha'ari Idris berkata usaha dana itu adalah di antara dua perkara baru selain mewujudkan ladang mini sayur-sayuran bagi mengurangkan kadar import sayur dari negara luar yang turut akan dilaksanaka mulai tahun depan.

"Kedua-dua perkara itu kita sudah masukkan ke dalam belanjawan kerajaan negeri pada tahun depan," katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Pertubuhan Peladang Negeri Terengganu (PPNT) di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah (PPNT) Datuk Wan Zakaria Abdul Rahman. Asha'ari berkata buat permulaan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk tahun depan akan disediakan kepada dana itu.

Beliau berkata mana-mana individu yang ingin terlibat dalam bidang pertanian boleh membuat pinjaman menerusi dana yang akan diurus oleh sebuah badan khusus bagi memastikan semua petani atau individu yang hendak terlibat dengan pertanian mendapat manfaat.

Sementara itu, Wan Zakaria berkata (PPNT) amat serius dalam melaksanakan program peningkatan pendapatan dan program sosio-ekonomi pertubuhan itu.

Beliau berkata antara program meningkatakan pendapatan (PPNT) yang akan muncul tidak lama lagi ialah kilang tepung vitato, sejenis ubi, bernilai RM1.5 juta yang akan beroperasi pada November.

No comments:

Post a Comment