Monday, September 10, 2012
Terima Siapa Sahaja Calon Asalkan Barisan Nasional Menang
“Terima siapa sahaja calon dan jangan jadikannya halangan kerana yang lebih penting ialah memastikan kemenangan memihak kepada BN,” demikian kata Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Fatimah Hamat.
Menurut Fatimah, perwakilan diharapkan dapat menerima dengan seadanya sesiapa sahaja calon dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding pada pilihan raya umum akan datang kerana individu berkenaan mewakili parti (BN) bukannya perseorangan.
“Barisan Wanita Umno Parlimen Hulu Terengganu kini berjumlah kira-kira 2,000 orang yang telahpun bersiap-sedia berjuang dan berperang menghadapi sebarang kemungkinan untuk PRU ke-13 nanti.
“Sehubungan itu, diharapkan Wanita Umno meneruskan semangat juang sebagaimana sekarang, walaupun siapa sahaja calon dipilih bertanding atas tiket BN kelak, kerana misi utama perjuangan adalah memastikan kita terus memenangi tiga kerusi Dun dan Parlimen serta merampas Dun Manir," katanya.
Menurutnya, perwakilan Wanita Umno dari Dun Manir perlu berusaha lebih keras bagi memastikan kerusi Dun Manir dapat dirampas, selepas puluhan tahun berada di tangan pembangkang.
"Tiada pembangunan dapat dilihat dilakukan mereka selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Hulu Terengganu di Kuala Berang, kelmarin yang disempurnakan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Sementara itu, Shahrizat dalam ucapannya turut menaruh keyakinan golongan wanita akan memberi undi serta menjadi penyumbang kemenangan kepada BN sekali gus membolehkan kerusi Dun Manir dapat ditawan setelah sekian lama berada di tangan pembangkang.
“Tidak kisah dengan pelbagai tanggapan serta panggilan umum kepada Wanita Umno sama ada makcik atau tok cik, yang penting kita terus berjuang untuk agama dan bangsa serta negara.
Malah, wanita terbukti menjadi tulang belakang kejayaan negara dalam pelbagai sektor,” katanya.
No comments:
Post a Comment