Monday, September 10, 2012

Sekolah Pondok Maahad Tahfiz As-Syifa' Terbakar Kali Kedua


Sebuah sekolah pondok, Maahad Tahfiz As-Syifa’ di Kampung Kolam, Kuala Ibai yang menempatkan 50 pelajar sekali lagi terbakar selepas insiden sama berlaku awal tahun lalu.

Kejadian kira-kira pukul 1.30 petang semalam berlaku ketika semua pelajar sekolah itu sedang menunaikan solat Zuhur di masjid berhampiran sebelum salah satu bilik tidur besar yang merupakan asrama di tingkat tiga bangunan itu terbakar.

> Pengetua sekolah berkenaan, Ahmad Syaifudin Ibrahim, 34, memberitahu, kebakaran dipercayai berpunca apabila pelajar terlupa menutup seterika sebelum turun untuk solat berjemaah.

"Bagaimanapun kami bernasib baik kerana kebakaran cepat disedari dan orang kampung membantu memadamkan kebakaran sebelum bomba tiba,” katanya ketika ditemui semalam.

Ekoran insiden tersebut, semua peralatan pelajar seperti tilam dan katil gagal diselamatkan. "Ketika kebakaran, saya sedang solat zohor bersama pelajar di surau berhampiran, tetapi saya dikejutkan dengan teriakan ibu saya Limah Awang, yang ketika itu berada di tingkat bawah menjerit ada api di tingkat dua bangunan

"Mendengar teriakan itu, saya terus keluar dan melihat api sedang marak membakar bangunan tingkat dua. Saya bersama orang kampung serta pelajar cuba memadam kebakaran dengan menggunakan sumber air terdekat bagi menggelakkan kebakaran merebak ke tingkat bawah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata maahad tahfiz, yang menempatkan 50 pelajar tingkatan satu hingga lima, baharu diduduki tahun lepas setelah dibina semula hasil sumbangan orang ramai kerana terlibat dalam kebakaran pada awal tahun 2011.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Md Ridzuan Hasan berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 1.25 petang dan tiga jentera bersama 28 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

"Kita mengambil masa kira-kira 11 minit bagi mengawal keseluruhan kebakaran dan mengelakkannya daripada merebak ke tingkat bawah," katanya.

Beliau berkata tidak ada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih disiasat.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Penyelaras Dewan Undangan Negeri Batu Buruk Wan Kamal Wan Ismail berkata pihaknya akan memberi bantuan keperluan asas seperti tilam, selimut serta peralatan lain kepada pelajar terbabit dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment