Saturday, September 8, 2012

Tiada Bukti Sharbinee Jual Perlawanan Menentang Kedah


Pengakuan penjaga gol Terengganu, Mohd Sharbinee Allawee Ramlie, yang dia tidak mengatur perlawanan ketika pasukannya seri 1-1 ketika menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu, mungkin benar.

Ini kerana keterangan yang diambil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada pemain, jurulatih dan pegawai pasukan Terengganu setakat ini, termasuk Sharbinee sendiri, belum menemui bukti wujud gejala rasuah pada perlawanan Kumpulan B Piala Malaysia itu.
Menurut sumber, maklumat yang diambil daripada saksi cuma menunjukkan jaringan penyamaan Kedah itu berpunca daripada kesilapan penjaga gol itu ketika cuba menguis bola keluar, yang kemudian masuk ke dalam gol sendiri.

Siasatan awal SPRM mendapati masih belum ada bukti menunjukkan penjaga gol itu menjual perlawanan. Bagaimanapun, siasatan masih di peringkat awal dan SPRM akan terus menyiasat bukan saja untuk perlawanan itu malah beberapa perlawanan lain, katanya ketika dihubungi, semalam.

Sumber itu berkata, siasatan itu dijalankan bukan berdasarkan aduan daripada mana-mana pihak, sebaliknya cabaran yang dibuat penjaga gol itu sendiri menerusi media supaya dia disiasat SPRM agar namanya tidak tercemar.

Kelmarin akhbar melaporkan, Mohd Sharbinee dipanggil memberi keterangan kepada SPRM, berhubung dakwaan menjual permainan ketika menentang Kedah di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu lalu.

Turut memberi keterangan ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan jurulatih Peter Butler. Pengarah SPRM Terengganu, Md Yusoff Md Zain mengesahkan perkara itu dan menjelaskan bahawa selain Che Mat dan Butler, beberapa pegawai PBSNT turut dipanggil memberi keterangan, Selasa lalu.

Muslim Ahmad dan Ismail Faruqi Ashari yang dipalit dengan isu dakwaan membawa wanita masuk ke bilik hotel di Alor Setar, baru-baru ini turut dipanggil membantu siasatan.

Berita Harian

No comments:

Post a Comment