Tuesday, September 11, 2012

Timur Semenanjung Dijangka Terima Taburan Hujan Lebat Selepas 15 Oktober


Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menjangkakan cuaca luar biasa dengan taburan hujan lebat di timur Semenanjung selepas 15 Oktober depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Husaini Sulaiman, berkata fenomena cuaca tidak menentu itu menyebabkan JPS terpaksa membuat perancangan lebih mantap dengan memastikan semua sistem pengairan lancar.

Katanya, JPS akan memberikan keutamaan dengan menumpukan sistem di kawasan yang sentiasa dilanda banjir membabitkan negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“JPS akan mula membuat persediaan menghadapi musim banjir memandangkan fenomena cuaca kini sudah berubah berbanding sebelum ini.

“Kakitangan JPS perlu agresif pada musim banjir tahun ini terutama memastikan semua sistem sentiasa mantap terutama sistem amaran banjir memandangkan ia bertindak sebagai amaran awal kepada penduduk,” katanya.

Beliau ditemui selepas Perasmian Persidangan Tahunan Pengurus Kanan JPS yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Zoal Azha Yusof, mewakili Menterinya, Datuk Seri Douglas Uggah Emas, di Kota Bharu, semalam.

Ditanya mengenai kegiatan mengorek pasir sepanjang Sungai Kelantan, Ahmad Husaini berkata, JPS negeri sentiasa memantau kegiatan itu dan sudah menghentikan kerja berkenaan yang membabitkan kawasan kira-kira 500 meter berhampiran tebing sungai.

Katanya, kegiatan mengorek pasir itu menyebabkan berlaku runtuhan tebing yang teruk di beberapa kawasan sepanjang sungai sekali gus membahayakan orang ramai.

Mengenai hakisan pantai, beliau menjelaskan bahawa keadaan pantai di Pantai Timur berada dalam keadaan kritikal terutama di Kelantan dengan beberapa pantainya sudah terhakis.

“Pantai Timur didapati lebih serius berbanding Pantai Barat kerana terdedah kepada Laut China Selatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment