Angkara kemaruk rokok, seorang anak bukan sahaja tergamak memaksa ibunya yang sudah tua menghulurkan RM1, namun lebih biadap dia sanggup mengugut akan menetak warga emas itu dengan sebilah parang selepas permintaannya itu tidak dihiraukan.
Selain itu, lebih kejam, anak kelima daripada enam beradik itu turut mengugut akan menetak abang kandungnya sendiri apabila tidak berpuas hati tindakan abangnya itu yang cuba masuk campur setelah menasihati serta menegur tindakan biadabnya itu.
Bagaimanapun, perbuatan tidak berperikemanusian tertuduh, Mohd Zulfahmie Mamat, 21, terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM3,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Terengganu semalam.
Hukuman itu dijatuhkan selepas dia yang beralamat dari Kampung Banggol Tok Ku Serada, di sini, mengaku salah dengan sengaja telah mengamuk dan merosakkan harta benda serta mengaku mendatangkan ketakutan dengan mengugut menggunakan sebilah parang terhadap ibunya, Semik Mat Zin, 58, Isnin lalu.
Dia mengaku melakukan perbuatan itu pada 3 September lalu kira-kira jam 9 malam di kediaman mereka di Kampung Banggol Tok Ku Serada, di sini.
Dengan itu, Mohd Zulfahmie mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 506 kanun sama peruntukan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Ngiam Ooi Ming di hadapan Majistret Rozianti Mohamed Hanaphi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
No comments:
Post a Comment