Wednesday, September 26, 2012

UMTMeterai Perjanjian Dengan Jabatan Mineral Dan Geosains Malaysia

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Selasa menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia bagi membolehkannya menjalankan lebih banyak penyelidikan berimpak tinggi.

Naib Canselor UMT Prof Dr Ibrahim Komoo berkata MoU itu juga akan membolehkan program pertukaran siswazah, petugas sokongan dan pakar penyelidikan dalam beberapa bidang termasuk geologi, geofizik, proses pantai, oseanografi fizikal, kimia dan biologi.

"Ini juga akan memudahkan UMT untuk penyediaan tempat kepada pelajar menjalani latihan industri, malah melalui MoU ini juga kita boleh mempromosikan bidang geologi marin dan oseanografi kepada masyarakat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU itu.

UMT diwakili Dr Ibrahim manakala JMG diwakili Ketua Pengarahnya Datuk Yunus Abdul Razak. Ibrahim berkata UMT melalui Institut Oseanografi dan Sekitaran yang menjalankan penyelidikan khusus dalam bidang sains marin, berharap dapat menyumbang kepada hasil penyelidikan, termasuk persempadanan laut di antara negara-negara maritim.

No comments:

Post a Comment