Thursday, October 11, 2012

353 Pusat Pemindahan Untuk Mangsa Banjir Di Terengganu


Sebanyak 353 pusat pemindahan yang mampu menempatkan 49,052 mangsa banjir disediakan di Terengganu bagi menghadapi musim tengkujuh pada akhir tahun ini dan awal tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata daripada jumlah itu, sebanyak 27 pusat akan diwujudkan di daerah Kuala Terengganu, yang mampu menampung 7,000 mangsa.

Sementara itu, 35 pusat akan diwujudkan di Kemaman yang mampu menempatkan 6,030 mangsa, Dungun (56 pusat/9,615 mangsa), Besut (98 pusat/11,082 mangsa), Hulu Terengganu (78 pusat/8,590 mangsa), Marang (24 pusat/4,100 mangsa) dan Setiu (35 pusat/2,635 mangsa).



"JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) juga telah mengenal pasti sebanyak 110 buah pangkalan hadapan bagi menempatkan bekalan untuk dihantar dengan cepat kepada mangsa yang memerlukan," katanya kepada pemberita selepas bermesyuarat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu di Bilik Mesyuarat Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Datuk Wan Ahamad Wan Muda dan semua wakil jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat dengan persediaan menghadapi banjir di negeri ini.

Mohamed Nazri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Alam Kebangsaan, berkata dua pangkalan itu akan diwujudkan di Kuala Terengganu, Kemaman (14), Dungun (8), Besut (21), Hulu Terengganu (34), Marang (16) dan bakinya di Setiu.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) meramalkan beberapa buah negeri di Semenanjung khususnya di kawasan Pantai Timur termasuk Terengganu akan mengalami tiga hingga lima episod hujan lebat tahun ini. Nazri berkata, hujan lebat diramalkan berlaku selama tiga empat hari yang boleh menyebabkan kejadian banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

"Jangkaan jumlah hujan yang turun sekitar 170 hingga 270 mm pada Oktober kemudian meningkat kepada 570 hingga 860mm pada November dan 430 hingga 660mm pada Disember,” katanya.

Katanya, sekiranya berlaku keamatan hujan yang tinggi iaitu lebih 100mm sehari dan berterusan selama 48 jam serta aras air laut yang tinggi akan memungkinkan banjir berlaku.

“Tarikh jangkaan berlaku banjir bulan depan ialah 14 hingga 19 November dan 27 hingga 30 November manakala Disember ialah pada 12 hingga 19 dan 25 hingga 31 Disember,” katanya.

Menurutnya, bermula musim banjir tahun ini Jabatan Parit dan Saliran (JPS) akan melakukan pemasangan web kamera pemantauan banjir di empat lokasi terpilih iaitu di Kampung Gong Terap dan berdekatan Sekolah Kebangsaan Kampung Buluh, Setiu serta di Jambatan Jerteh dan Kampung La, Besut.

“Saya berharap orang ramai sentiasa mendengar hebahan keadaan banjir dari radio dan televisyen sebelum keluar rumah atau melakukan perjalanan jauh untuk keselamatan diri dan keluarga,” katanya.

Katanya, segera berpindah jika diminta berbuat demikian oleh petugas banjir bagi mengelak sebarang kemalangan yang boleh meragut nyawa.

Dalam perkembangan lain, urusetia JPBN akan menganjurkan program Kesedaran Bencana Peringkat Komuniti melibatkan tiga lokasi iaitu Dungun, Kuala Terengganu dan Kemaman bagi meningkatkan kesedaran dan menjadikan komuniti tempatan sebagai front-liner dalam mendepani sebarang bentuk bencana di kawasan mereka.

No comments:

Post a Comment