Thursday, October 11, 2012
Perogol Kanak-Kanak Warga Indon Kena Penjara 9 Tahun, 6 Sebatan
Perbuatan kejam seorang warga Indonesia yang tergamak merogol kanak-kanak berusia sembilan tahun sehingga mengalami pendarahan teruk pada bahagian kemaluan amat dipandang serius oleh Mahkamah Tinggi, di Kuala Terengganu, semalam.
Ini terbukti apabila Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menolak rayuan dan mengekalkan hukuman 15 tahun penjara serta enam sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, di Kuala Terengganu, dua tahun lalu terhadap tertuduh, Senni, dari Jawa Timur, Indonesia.
Terdahulu, Senni yang bekerja sebagai tukang elektrik didapati bersalah merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 9 tahun di sebuah rumah di Taman Selasih Jalan Padang Luas, Kampung Padang Luas, Besut, pada 4 Mei 2009 antara jam 7 malam hingga 8 malam.
Dengan itu, Senni yang semasa kejadian berusia 23 tahun didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai tidak kurang 5 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan jika disabitkan kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli lampin pakai buang untuk adiknya di kedai berhampiran telah ditarik oleh tertuduh masuk ke dalam rumahnya sebelum dibawa ke dapur dan dirogol.
Selepas kejadian, mangsa pulang ke rumah dan menangis apabila hendak membuang air kecil kerana mendakwa sakit pada bahagian kemaluan sebelum ibu mangsa ternampak darah meleleh keluar dari kemaluan mangsa dan turut mendapati terdapat kesan luka seperti ‘hati ayam yang hancur’.
Terdahulu dalam rayuannya, Senni yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mempertimbangkan rayuan meringankan hukuman yang dijatuhkan kepadanya sebelum ini dengan mendakwa sudah insaf.
Selain itu, Senni turut mendakwa semasa kejadian usianya masih muda, jadi dia terlalu jahil sehingga sanggup melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak yang masih mentah selain mendakwa hendak pulang ke tanah airnya secepat mungkin disebabkan kedua orang tuanya di kampung sudah uzur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Jazamuddin Ahmad Nawawi.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment