Seramai tujuh puluh lima pembantu guru Bahasa Inggeris (ETA) dari Amerika Syarikat akan ditempatkan di beberapa sekolah terpilih di Perak, Johor, Pahang dan Terengganu menjelang bulan Januari tahun depan.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Abdul Ghafar Mahmud berkata mereka akan membantu guru Bahasa Inggeris tempatan di sekolah rendah dan menengah menerusi satu program kerjasama antara Malaysia dan AS.
Beliau berkata pelajar di 50 sekolah di Terengganu, Pahang dan Johor telah menunjukkan peningkatan dalam Bahasa Inggeris selepas pelaksanaan program sepuluh bulan itu pada Januari tahun ini.
"Sekumpulan 50 ETA dari Fulbright telah menamatkan tugasan mereka di sekolah rendah dan menengah," katanya kepada pemberita pada majlis perpisahan ETA berkenaan di Kedutaan AS di Kuala Lumpur, semalam.
Program ini merupakan komitmen bersama Presiden AS Barack Obama dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memperluas program pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Datuk Paul W.Jones berkata sekurang-kurangnya 22,500 pelajar mendapat manfaat daripada program ini.
No comments:
Post a Comment