Wednesday, October 10, 2012

ABMT Lahir 70,000 Pelatih, Tenaga Mahir Dalam Sektor Minyak, G & Petrokimia

Datuk Ir Hamzah Hassan - 80 peratusberjaya dalam industri pembinaan.
 Akademi Binaan Malaysia Wilayah (ABMT) berjaya melahirkan 70,000 pelatih serta tenaga mahir tempatan dalam industri pembinaan berkaitan minyak, gas dan petrokimia negara dalam tempoh 13 tahun lalu.

Jumlah itu termasuk 15,000 belia lepasan sekolah yang mengikuti 32 bidang kursus berkaitan industri berkenaan bagi tempoh yang sama sejak penubuhannya.

Bagi Program Latihan Kemahiran Belia, ABMT yang diwujudkan menerusi Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Malaysia sudah melahirkan 750 pelatih pada tahun ini, manakala tambahan 112 lagi bagi kemasukan 1 Oktober ini yang melibatkan empat kursus iaitu Scaffolding, Steel Stucture Erection & Fabrication, Gas Pipe Fitting dan Gas Pipe Insulation.


Pengerusi Lembaga CIDB, Datuk Ir Hamzah Hasan, berkata berdasarkan Kajian Lepasan Pelatih, daripada 14,941 belia yang menjalani kursus berkenaan, lebih kurang 80 peratus berjaya bekerja dalam industri pembinaan sama ada bekerja sendiri atau makan gaji dengan menjadi kontraktor, sub-kontraktor, penyelia serta pekerja mahir.

“Antara cabang bidang kemahiran yang menjadi fokus CIDB dalam menyediakan keperluan tenaga kerja tempatan berkemahiran adalah berkaitan dengan minyak dan gas.

“Kursus seperti Welding, Gas Pipe Fitting, Gas Pipe Insulation, Scaffolding, Steel Structure Erection & Fabrication dan Blasting & Painting adalah antara bidang yang mendapat permintaan tinggi dari syarikat-syarikat minyak dan gas khususnya dari Rantau Petronas seperti PFCE Sdn Bhd, Epic Group, Dialog Group, MSET Engineering dan lain-lain syarikat,” katanya dalam ucapan sempena Seminar Minyak dan Gas Terengganu 2012, di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu, pagi  semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengarah CIDB Terengganu, Ahmad Farrin Mokhtar; Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur, Maliki Endut dan ketua Pegawai Eksekutif Petronas Technical Training Sdn Bhd, Wan Azhar Lotfi Wan Yusof.

Seramai 300 peserta seminar yang terdiri daripada penggiat industri pembinaan dan pelajar yang mengikuti latihan kemahiran dalam bidang berkaitan minyak, gas serta petrokimia dari Terengganu, Kelantan, Pahang dan Kuala Lumpur turut hadir di majlis perasmian itu.

Ir Hamzah berkata, Program Latihan kemahiran Belia bukan hanya ditaja CIDB, malah turut menerima pelatih tajaan pelbagai agensi dan pihak luar seperti 50 peserta dalam bidang Welding, Pemasangan Pendawaian Bangunan dan Jentera Berat (Ketengah) serta 20 peserta bidang Backhoe Loader Operation (Kesedar, Kelantan).

Selain itu, 25 peserta bidang Gas Pipe Insulation (Keda,Kedah) dan 139 peserta kursus Scaffaolding, Backhole Loader, Hydraulic Excavator Operation, Air-Condition & Mechanical ventilation, Plumbing dan Building Operation & Maintenance dari Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pada masa yang sama, beliau berharap seminar berkenaan menjadi platform memberi pendedahan dan maklumat berkaitan industri minyak, gas dan petrokimia kepada pemain industri pembinaan, terutama kepada mereka yang baru mahu menceburkan diri dalam kerja berkaitan.

“Ia juga akan memberi maklumat berkaitan keperluan pendaftaran dengan pihak Petronas selaku peneraju syarikat minyak dan gas negara, selain memberi gambaran dan perkongsian pengalaman dengan kontraktor yang terlibat dalam industri itu.

“Secara tidak langsung ia akan membuka peluang kepada pemain industri pembinaan untuk menceburkan diri dalam kerja berkaitan sekali gus dapat meningkatkan penglibatan pemain industri pembinaan tempatan dalam bidang minyak, gas dan petrokimia,” katanya.

Sebanyak empat kertas kerja dibentangkan oleh penceramah yang dijemput khas bagi berkongsi pengetahuan serta pengalaman dalam sektor berkenaan.

No comments:

Post a Comment