Selepas gagal menyumbang pingat pada Sukan Olimpik 2012 di London, pelumba sensasi negara, Mohd. Azizulhasni Awang kini mahu memberi persiapan bagi menghadapi Kejohanan Trek Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Minsk, Belarus.
"Sebelum menghadapi Kejohanan Trek Dunia UCI di Belarus, saya akan sertai Piala Dunia di Mexico.
"Bagaimanapun, saya tidak letak sasaran tinggi pada Piala Dunia nanti," kata Azizulhasni pada sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang peraduan Olympic Games Spend & Win anjuran Visa di Menara Maxis, Kuala Lumpur semalam.
Piala Dunia dijadual berlangsung pada 17 hingga 19 Januari 2013, manakala Kejohanan Trek Dunia UCI (20 hingga 24 Februari 2013).
"Selepas Olimpik, saya ada dua tiga kali tengok balik video (perlumbaan akhir keirin), saya rasa sedih.
Kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok balik video itu kerana saya memang ada peluang untuk menang tetapi tidak ada rezeki walaupun telah cuba buat yang terbaik
"Saya sudah memulakan latihan di Ipoh selepas Hari Raya. Latihan saya banyak dijalankan di jalan raya dan juga gimnasium. Setakat ini masih belum buat latihan di velodrom," katanya.
Selain kedua-dua kejohanan berprestij itu, fokus Azizulhasni juga tertumpu kepada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland, masing-masing berlangsung pada 2014.
"Saya teruja untuk kembali bersaing dengan jaguh dunia, Chris Hoy yang dijangka beraksi pada Sukan Komanwel. Ia sebahagian daripada motivasi untuk saya. Saya berazam untuk cuba kalahkan dia," katanya.
Menurut Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocketrocketman, dia akan kembali menyambung latihan di Melbourne, Australia pada Disember depan.
"Sekembali ke sana, saya akan sertai karnival berbasikal di Tasmania pada penghujung Disember. Saya sertai kejohanan itu sebagai sebahagian daripada program latihan saya," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azizulhasni menyambut baik pengumuman Bajet 2013 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung peruntukan untuk persediaan atlet bagi menghadapi Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016 dan pembinaan velodrom tertutup di Seremban, Negeri Sembilan.
"Bila Perdana Menteri umum belanjawan untuk Olimpik Rio dan velodrom tertutup itu, saya memang teruja sangat dan terus saya tweet ucap terima kasih kepada PM.
"Saya memang gembira sangat, saya memang tunggu dari dulu akan sebuah velodrom tertutup.
Dulu saya pernah suarakan perkara ini di laman media sosial dan mana-mana wawancara dengan media sebelum ini.
"Ia adalah sesuatu yang bagus untuk arena berbasikal di negara ini," katanya
Kosmo!
No comments:
Post a Comment