Friday, October 5, 2012
Cegah LBGT Di Sekolah - Guru Kaunseling Jadi Petugas Barisan Hadapan
Guru kaunseling mampu menjadi petugas barisan hadapan bagi mencegah penyebaran fenomena Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di kalangan pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata untuk tujuan tersebut, guru kaunseling mesti dilengkapi dengan pengetahuan dan pemahaman simptom LGBT untuk menawarkan nasihat untuk mana-mana pelajar yang terlibat.
"Guru kaunseling ini kalau mereka ada kemahiran, kefahaman secara umum memberi penerangan, motivasi, kesedaran, keinsafan dalam isu seperti ini mampu membantu pelajar di peringkat sekolah sebenarnya.
"Guru kaunseling mesti memahami perkara sendiri untuk memberi penjelasan serta membawa pelajar kembali ke jalan yang betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keibubapaan dalam menangani LGBT peringkat Negeri Terengganu di Stadium Negeri di Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman. Dr Mohd Fuad menyifatkan masalah tersebut merupakan isu yang besar di negara kita dan perlu ditangani secara bersama oleh masyarakat.
Seminar sehari itu dianjurkan oleh Yayasan Guru Malaysia Berhad dan Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-sekolah Putrajaya.
Untuk menjamin usaha membendung fenomena LGBT ini berjaya, pendidik dan ibu bapa perlu ada kesedaran dan kefahaman tentang isu ini bagi menanganinya secara bijaksana.
“Yang penting mereka yang terbabit perlu dipulihkan dan setakat ini ada yang telah kembali ke pangkal jalan,” katanya.
“Apa yang berlaku hari ini, ibu bapa sendiri sebenarnya tidak sedar bahawa anak mereka telah terjebak ke dalam gejala ini dan hanya tahu setelah mereka telah jauh terpesong,” katanya.
Beliau turut menayarankan agar pelajar-pelajar dapat bertemu dengan guru kaunseling tiga kali dalam tempoh seminggu dan guru-guru juga perlu ada kemahiran mengendalikan pelajar yang mempunyai masalah tersebut.
Katanya, guru-guru harus bijak menangani masalah ini dengan menilai kebaikan dan tidak membesarkan keburukan serta beri tunjukajar tentang kebaikan yang termuat dalam internet
Beliau menyarankan guru-guru teknologi maklumat (IT) boleh memberi lebih banyak pendedahan kepada pelajar mengenai kemudahan yang ada di internet khususnya dalam hal-hal ilmiah.
“Kerajaan hari ini bertindak untuk perbetulkan perkara yang salah dan saya berani mengatakan ada pihak telah mengambil kesempatan mempolitikkan perkara ini dan mengeluarkan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan,” katanya
Katanya, kebimbangan kita hari ini ialah ada pemimpin yang melihat kepentingan politik sahaja tanpa melihat kepentingan negara bangsa yang ingin kita bina dan mereka anggap inilah kesempatan yang harus diambil untuk mendapatkan simpati rakyat.
No comments:
Post a Comment