Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin mahu umat Islam menjadikan masjid sebagai tempat membuktikan ketaatan dan pengabdian yang ikhlas.
Baginda juga mahu masyarakat menjadikan insitusi itu sebagai tempat perpaduan dan penyatuan umat Islam, selain sebagai pusat sumber ilmu dan aktiviti keagamaan.
"Gunakanlah institusi masjid sebagai tempat penyatuan umat dan masyarakat serta penduduk setempat dalam mengimarahkan rumah Allah dan mengadakan lain-lain aktiviti keagamaan yang boleh membawa manafaat kepada masyarakat," titah baginda hari ini.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Masjid Kampung Kuala Kemaman
di Kemaman. Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Baginda juga bertitah semua pihak berwajib termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), anggota jawatankuasa masjid dan seluruh masyarakat agar bersama-sama menjaga dan membangunkan peranan masjid sehingga mencapai kejayaan yang boleh dibanggakan.
"Tahap kebersihan, keindahan dan keceriaan masjid perlu diberi perhatian dari dalam hingga di luar masjid agar masjid menjadi institusi contoh dan menarik minat jemaah.
"Begitu juga dengan tabung masjid, derma dari orang ramai perlu dibelanjakan sebaik mungkin untuk pembangunan masjid, menganjurkan kelas-kelas pengajian, ceramah, forum, kuliah, tazkirah serta aktiviti yang boleh memberi manafaat kepada anggota masyarakat," titah baginda.
Sempena perasmian masjid baru itu, baginda turut berkenan menamakan Masjid tersebut sebagi Masjid As-Syakirin.
Masjid itu yang dibina sejak 2008 siap pada 2010 dengan kos RM4.4 juta dan mampu menampung 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid Kuala Kemaman merupakan masjid yang ketiga disiapkan selepas masjid Pengkalan Pandang dan Masjid Paya Berenjut.
Lebih menarik lagi, masjid ini terletak berhampiran dengan pantai Kuala Kemaman yang merupakan kawasan tarikan pelancong dalam dan luar negara.
No comments:
Post a Comment