Lebih 50 petani dari enam buah kampung di Hulu Terengganu dijangka dapat menambah pendapatan mereka apabila menandatangani perjanjian dengan Fama Terengganu bagi memasarkan secara terus hasil tanaman mereka.
Fama Terengganu diwakili Pengurus Operasinya Abdul Jalil Embong manakala pihak petani berkenaan diwakili enam orang.
Pengarah Fama Terengganu Hasan Jusoh berkata petani yang terlibat dalam perjanjian itu adalah dari Kampung Nibong dan Kampung Bukit Tok Bat di daerah Hulu Terengganu, Kampung Pasir Puteh (Marang), Kampung Rhu Tapai, Kampung Bari Besar dan Kampung Telaga Papan (Setiu).
"Kawasan bertanam petani itu adalah 23.60 hektar dan mula mengeluarkan hasil sejak sebulan lepas. Harga lantai yang ditawarkan Fama kepada petani itu bergantung kepada komoditi dihasilkan," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian jual beli dan penyerahan peralatan pemasaran Azam Tani di Telemong di Hulu Terengganu semalam.
Pengerusi Belia dan Sukan yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong, Rozi Mamat hadir menyaksikan majlis menandatangani perjanjian itu dan menyempurnakan majlis penyerahan peralatan tersebut.
Sementara itu, Rozi berharap agar golongan petani berusaha menjadi petani moden dengan menggunakan sistem pertanian lebih moden dan sistematik bagi meningkatkan pendapatan.
Pada majlis itu, Fama menyampaikan bantuan peralatan Azam Tani kepada 14 peserta yang keseluruhannya bernilai RM481,540.
No comments:
Post a Comment