Monday, October 8, 2012

MBKT Bawa Pulang Wang Tunai RM20,000 Menang Bot Berhias


Bot MBKT dinobatkan juara Pertandingan Citra Bot Berhias.
Bijak mempamerkan keceriaan dan konsep `Bandaraya Persisir Air’ pada bot penambang memberi kelebihan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) apabila dinobatkan sebagai juara bagi Pertandingan Citra Bot Berhias, di Dataran Syahbandar, Kuala Terengganu, malam semalam.

Bot berhias MBKT yang turut menekankan beberapa keunikan lain, termasuk logo Tahun Melawat Terengganu (TMT) 2013, layar `Monsun Cup’, kubah Masjid Kristal, podium Wisma Darul Iman, songket dan batik layak membawa pulang wang tunai RM20,000.

Manakala naib johan pertandingan sempena sambutan ulangtahun yang ke-50 hari Keputeraan Sultan Terengganu itu, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan pulangan wang tunai RM15,000.



Tempat ketiga pula disandang, Pejabat Daerah Kemaman, layak memperoleh RM10,000; tempat keempat Pejabat Daerah Setiu dan kelima (Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), masing-masing membawa pulang RM5,000.

Sebanyak 13 bot berhias millik jabatan kerajaan dan swasta lain seperti Jabatan Laut Terengganu, Taman Tamadun Islam, Koperasi Warisan Seberang Takir Terengganu Berhad, Pejabat Daerah Terengganu turut menampilkan pelbagai kreativiti menarik walaupun tidak memenangi sebarang hadiah.

Majlis yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said itu dikunjungi lebih 5,000 penduduk. Hadir sama isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Hajah Norliza Mahmud; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Datuk Rahin Mohd Said dan beberapa barisan exco lain.

Pada malam berkenaan turut diadakan pertunjukan bunga api, tarian tradisional serta cabutan bertuah dan paling menarik pelancong asing akan diarak dengan menaiki beca berhias yang disediakan ke tapak program.

Datuk Bandar MBKT, Datuk Adzlan Mohd Dagang, berkata sokongan padu semua pihak dan kerjasama 20 kakitangan antara petua bot berhias milik MBKT mampu memikat hati juri pertandingan.

“Kakitangan terlibat mengambil masa hanya empat hari dengan membelanjakan hampir RM20,000 bagi menyiapkan konsep yang diinginkan penganjur,” katanya kepada pemberita selepas menerima hadiah kemenangan.

Teganukita

No comments:

Post a Comment