Thursday, October 25, 2012

Fowler Antara Calon Dikatakan Berminat Melatih T-Team


Andai tiada sebarang masalah, bekas bintang Liverpool, Robbie Fowler bakal mengendali pasukan berstatus kelab, T-Team.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu semalam.

Bagaimanapun, Ahmad Said berkata, Fowler harus menjalani beberapa ujian sebelum dilantik sebagai pengurus merangkap ketua jurulatih T-Team musim depan. Menurut Ahmad, Fowler, 37, telah menyatakan kesanggupan untuk menggalas tanggungjawab tersebut, namun pihaknya masih belum mahu membuat sebarang keputusan.

 
"Sebelum membuat pelantikan, kita akan menilai terlebih dahulu dari pelbagai aspek termasuk kecergasan dan sebagainya. "Dia (Fowler) sanggup berkhidmat di negeri ini (Terengganu) sebagai ketua jurulatih dan pengurus (T-Team). Namun, kita akan panggil untuk diuji," jelas Ahmad Said.

Selain Fowler, kapten skuad kebangsaan Ghana, Derek Boateng turut disebut-sebut bakal menghadiri sesi ujian tersebut bagi menggantikan tempat Yunus Alif.

"Selain Fowler dan Boateng, beberapa individu lain juga akan dipanggil untuk menjalani ujian tersebut bagi memastikan mereka yang betul-betul komited, sesuai serta berkebolehan membimbing pasukan T-Team. "Saya akan memberi perhatian kepada pasukan T-Team untuk diuruskan secara profesional," tambahnya.

Pada masa yang sama, Ahmad Said  turut berharap isu mengenai kedudukan jurulatih, Peter James Butler bersama skuad Terengganu dapat diselesaikan dalam tempoh dua minggu.

 "Pihak berkenaan terutama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) diharap dapat buat keputusan mengenai perkara itu dalam tempoh tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Said tetap mengulangi pendiriannya untuk tidak campur tangan dalam isu berkenaan, malah menyerahkan kepada PBSNT untuk menyelesaikan polemik yang berlaku.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan bahawa hukuman penggantungan enam bulan yang dikenakan oleh PBSNT terhadap Butler tidak sah.

Disebabkan itu, Butler menegaskan bahawa beliau masih merupakan jurulatih Terengganu yang sah kerana mempunyai kontrak dengan PBSNT.

Kosmo!

No comments:

Post a Comment