Thursday, October 25, 2012
Hoki - Skuad Terengganu Terima Ganjaran RM72,000
Atlet hoki Terengganu, pengurus dan pegawai menerima ‘durian runtuh’ apabila Kerajaan Negeri memberikan ganjaran berupa wang tunai berjumlah RM72,000 selepas kejayaan melakar kejuaraan di pentas final pada Kejohanan Hoki Piala Tun Razak ke-50 di Stadium Hoki Indera Mahkota, Kuantan Isnin lalu.
Insentif itu disampaikan sendiri, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said kepada 24 penerima, termasuk pegawai, jurulatih dan atlet, yang mana setiap mereka menerima sebanyak RM3,000. Ahmad berkata, insentif diberikan itu sebagai penghargaan terhadap pencapaian cemerlang pasukan hoki, sekali gus mengharumkan nama Terengganu.
“Kita amat bangga dengan pencapaian mereka, apatah lagi ia adalah kali pertama Terengganu muncul juara sejak kejohanan ini diperkenalkan sejak 50 tahun lalu dan ini adalah pencapaian terbaik pasukan hoki negeri.
“Kejayaan ini amat mengagumkan kita, apatah lagi kebanyakannya adalah atlet tempatan yang secara tidak langsung membuktikan bahawa sekiranya anak Terengganu diberikan peluang mereka mampu mencapai kecemerlangan biarpun dalam sukan yang kurang popular,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Insentif Kecemerlangan Johan Hoki Piala Tun Razak edisi ke-50 di Wisma Darul Iman, semalam.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, kejayaan itu merupakan permulaan terbaik dalam usaha Kerajaan Negeri untuk membawa pasukan hoki melangkah ke Liga Hoki Kebangsaan tahun depan.
Katanya, buat masa ini belum ada pasukan negeri yang menyertai Liga Hoki Kebangsaan dan dengan kemenangan ini tidak mustahil Terengganu mampu memberikan saingan kepada kelab-kelab hoki yang sedia ada seperti, Tenaga Nasional Berhad, Maybank, Sapura, Kuala Lumpur dan sebagainya.
“Malah ini merupakan usaha kita (Kerajaan Negeri) untuk mengetengahkan bakat-bakat anak tempatan terutamanya bekas atlet Sukma negeri supaya tidak terpendam begitu sahaja.
“Buat masa ini pesatuan hoki sedang giat melakukan kertas kerja berkaitan syarat-syarat penyertaan dan sebagainya, begitu juga dengan pemilihan pemain untuk mewakili pasukan hoki Terengganu musim depan,” katanya.
Sementara itu, penolong jurulatih pasukan hoki, Nik Rozemi Nik Mohamed menyambut baik usaha Kerajaan Negeri yang mengambil keputusan untuk menyertai Liga Hoki Kebangsaan tahun depan dan menganggap ia adalah satu usaha yang tepat pada masanya.
Menurutnya, dengan kejayaan berganda diraih pasukan hoki Terengganu dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) di Pahang Julai lalu dan Hoki Piala Tun Razak Isnin lalu menjadi batu loncatan kepada skuad bimbingannya untuk terus memburu piala pada Liga Hoki Kebangsaan musim depan.
“Ketika ini kita sedang mengenal pasti beberapa pemain luar, malah kita juga akan menggunakan khidmat pemain tempatan terutamanya mereka yang memenangi pingat emas pada Sukma Pahang lalu serta pelapis skuad hoki Sukma 2014,” katanya.
No comments:
Post a Comment