Pembinaan institut kemahiran termasuk Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di seluruh negara bertujuan memastikan golongan belia mendapat peluang latihan mengikut minat masing-masing.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pembinaan institut tersebut juga sebagai langkah persediaan negara untuk menjadi negara maju dengan rakyat berpendapatan tinggi, menjelang tahun 2020.
"Negara memerlukan sekurang-kurangnya 33 peratus pekerja berkemahiran tinggi menjelang 2015 dan 50 peratus menjelang 2020 dalam pelbagai bidang berbanding hanya 28 peratus yang ada kini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian IKBN Kemasik di Kemaman, semalam.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan IKBN tersebut diiringi Sultanah Nur Zahirah. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.
Menurut Ahmad Shabery, IKBN Kemasik merupakan sebahagian daripada pelbagai institut latihan kemahiran awam yang diwujudkan kerajaan di Terengganu seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) di Gong Badak, Kuala Terengganu dan di Marang.
IKBN Kemasik bukan sahaja menawarkan kursus berkaitan kepada pelajar malah turut memberi faedah kepada masyarakat setempat berikutan menawarkan kursus-kursus kemahiran jangka pendek dan berpeluang menggunakan kemudahan di institut itu.
Apa yang ditawarkan kepada penduduk, terutama suri rumah dan ibu tunggal seperti kursus memasak, menjahit, membuat kek dan pastri itu mampu mengubahkan graf kemiskinan keluarga kepada kehidupan lebih selesa.
"Selain itu, kemudahan peralatan sukan, dewan asrama turut boleh diguna pakai oleh masyarakat luar sebagai inisiatif melahirkan individu sihat dan gemar bersukan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian IKBN Kemasik, Kemaman, semalam.
Menurut Ahmad Shabery, penubuhan IKBN tersebut merupakan satu bukti kecaknaan kerajaan terhadap golongan belia di negara dalam usaha menyediakan pelbagai latihan dalam memberi nilai tambah kepada golongan itu.
Melalui IKBN Kemasik golongan belia mampu mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang kemahiran dan mampu menempatkan diri dalam sektor perindustrian yang berkembang pesat di negara pada masa ini.
"Kita berharap dengan kemudahan seperti ini dapat dimanfaat golongan muda untuk menempatkan diri mereka di dalam bidang perindustrian dan kerjaya-kerjaya lain apatah lagi di IKBN Kemasik turut menawarkan fokus kerjaya yang jarang dikenali sebelum ini iaitu kedi.
" Ia dikendalikan di bawah Akademi Kemahiran Belia Golf yang kini telah pun melahirkan kira-kira 50 kedi dan telah mendapat pekerjaan di seluruh kelab golf di negara.
"Selain itu, bidang-bidang seperti perhotelan juga merupakan satu bidang yang semakin mendapat tempat di dalam industri dan saya berharap pada masa akan datang IKBN dapat membina sebuah hotel latihannya sendiri yang dilengkapi dengan kemudahan terbaik serta menjadi tanda aras kepada sekolah-sekolah perhotelan lain," katanya.
IKBN Kemasik adalah yang kedua dibina di negeri ini selepas di Wakaf Tapai, Marang dengan menawarkan tiga bidang iaitu perhotelan, hospitaliti dan perkhidmatan personal.
Ia dibina di atas tapak seluas 20 hektar dengan kos sebanyak RM78 juta di mana pada masa ini seramai kira-kira 300 pelajar sedang mengikuti latihan dan kemahiran yang disediakan di institut itu.
IKBN Kemasik yang dibuka pada 18 Oktober dua tahun lalu, menyediakan peluang latihan kemahiran kepada belia dalam sektor tumpuan utama perindustrian dan dijangka mensasarkan kira-kira 500 pelajar bakal mengikuti latihan di institut itu menjelang 2014.
No comments:
Post a Comment