Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) menahan dua buah vesel laut dalam milik warga Vietnam kerana melakukan tangkapan secara bergandingan pada 7.10 pagi kelmarin kira-kira 80 batu nautika dari
pantai Kuala Terengganu.
Pengarahnya Abdul Khalil Abdul Karim berkata hasil siasatan mendapati lesen bagi vesel dengan pendaftaran KNF 7787 itu sudah tamat tempoh tahun lepas manakala sebuah lagi vesel cuba melakukan penyamaran dengan menggunakan pendaftaran tempatan KNF 7790.
"Pihak kami telah membuat laporan polis di Kemaman dan vesel KNF 7790 akan disiasat oleh pihak polis mengikut Seksyen 8(A) Akta Perikanan kerana menangkap ikan di perairan negara tanpa lesen.
"Manakala vesel KNF 7787 akan disiasat mengikut Seksyen 8(A) dan Seksyen 8(C) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa lesen dan melanggar arahan Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya kepada pemberita di Pusat Tahanan Vesel, Kuala Kemaman kelmarin.
Beliau berkata 27 warga Vietnam berusia antara 20 hingga 55 tahun yang merupakan awak-awak dua vesel itu gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Abdul Khalil berkata kesemua awak-awak warga Vietnam itu akan ditahan reman bagi membantu siasatan.
Mengulas lanjut mengenai penahanan dua vesel itu, katanya tangkapan itu dilakukan ketika kakitangan jabatan sedang menjalankan operasi pemantauan vesel dan tangkapan ikan bagi siri empat tahun 2012.
"Dua vesel itu dipercayai menangkap ikan menggunakan pukat secara bergandingan dengan jumlah tangkapan kira-kira 10,000 kilogram ikan," katanya.
No comments:
Post a Comment