Sunday, October 28, 2012

JPJ Berjaya Kesan Penyalahagunaan Dadah Melalui Operasi Bersepadu

JPJ dan polis trafik antara yang terlibat dalam Operasi Bersepadu memeriksa kenderaan di Air Sejuk, Setiu.
Operasi Bersepadu membabitkan lima agensi penguat kuasa di Stesen Timbang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Air Sejuk, Setiu berjaya mengesan pelbagai kesalahan lalu lintas, termasuk lima kes membabitkan penyalahgunaan dadah.

Operasi yang diadakan bermula 9 pagi Rabu lalu disertai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), polis trafik, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Bahagian Kawalan Filem, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Penolong Pengarah Penguat kuasa JPJ Negeri, Hashim Borhan yang mengetuai operasi itu berkata, lima kes penyalahgunaan dadah telah dikesan AADK apabila membuat saringan air kencing terhadap 60 pengguna jalan raya dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, mereka membabitkan pemandu kereta dan penunggang motosikal berusia 20 hingga 30 tahun apabila didapati positif methempetamine (pil kuda) dan tindakan lanjut telah diambil oleh AADK.

“Selain itu pihak polis juga telah mengeluarkan 40 saman terhadap pemilik kenderaan yang didapati telah mengubah reka bentuk kenderaan mereka, di samping menggunakan nombor pendaftaran yang tidak mematuhi peraturan,” katanya selepas mengadakan operasi di lokasi pemeriksaan.

Hashim berkata, secara keseluruhannya sebanyak 215 buah kenderaan telah diperiksa dalam operasi itu dan JPJ juga telah mengeluarkan 39 notis saman membabitkan pelbagai kesalahan, terutamanya memandu tanpa lesen dan penggunaan cukai jalan telah tamat tempoh.

Kesemua kesalahan akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)”, kata Hashim.

Beliau juga memberitahu, dalam Operasi Khas Motosikal yang diadakan di empat lokasi di seluruh negeri pada 20 Oktober lalu, JPJ telah mengesan dan mengeluarkan notis saman kepada 200 penunggang motosikal.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment