Tuesday, October 23, 2012

Karnival Nasi Ambang Pada 17 November di Besut

Cara memasak dan menyediakan Nasi Ambang, sejenis makanan tradisional masyarakat Jawa Melayu akan diperkenalkan kepada penduduk Terengganu sempena Karnival Nasi Ambang, pada 17 Nov di Besut.

Setiausaha Perkumpulan Anak-Anak Johor Terengganu (PAKJO) Norafiszal Sabuan berkata karnival sehari itu akan berlangsung pada 3 petang, di Masjid Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), berdekatan Pangkalan Udara Gong Kedak, dekat Jertih.

"Demonstrasi memasak dan penyediaan Nasi Ambang oleh ahli PAKJO yang berpengalaman akan dilakukan di perkarangan masjid berkenaan," katanya semalam.

Nasi Ambang ialah nasi yang dihidangkan bersama lauk-pauk seperti sayur tumisan iaitu masakan Jawa yang mencampurkan suhun, kentang, tempe dan hati dan dimakan bersama sayur goreng, serondeng dan ayam goreng.

Norafiszal berkata penduduk Besut yang berminat untuk mengetahui cara memasak Nasi Ambang boleh melayari laman sosial Facebook PAKJO dengan memberi nama dan nombor telefon, sebelum 15 Nov ini.

Beliau berkata Nasi Ambang yang dimasak di karnival itu nanti akan dihidangkan kepada para tetamu sempena majlis tahlil yang akan diadakan selepas solat Maghrib.

No comments:

Post a Comment