Hampir 1,000 orang daripada kalangan cacat penglihatan dan sukarelawan dari seluruh negara menyertai perarakan sempena Sambutan Hari Penglihatan Sedunia dan Tongkat Putih Antarabangsa 2012 peringkat kebangsaan di Dataran Shahbandar di Kuala Terengganu, kelmarin.
Perarakan itu bermula dengan persembahan kumpulan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta 20 buah beca bersama para peserta berjalan kaki sejauh empat kilometer melalui beberapa jalan utama sekitar pusat bandar raya ini.
Pengerusi sambutan, Mohamad Abdul Nasir Malek memberitahu, program tahunan itu bertujuan memupuk kesedaran dalam kalangan masyarakat supaya tidak meminggirkan golongan kurang upaya (OKU) dalam menikmati segala kemudahan.
"Program ini mendapat kerjasama kerajaan negeri yang memberi peruntukan sebanyak RM50,000 bagi menjayakannya sepanjang tiga hari," katanya kepada pemberita dalam program tersebut.
Perasmian program itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Datuk Mazlan Ngah dan turut dihadiri Presiden SBM, Mohammad Nazari Othman.
Sementara itu, Pakar Perunding Oftalmologi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, Dr. Nor Higrayati Ahamad Kasan ketika berucap dalam majlis itu berkata, kadar kebutaan di negara ini adalah rendah iaitu 0.29 peratus.
"Penyebab utama penyakit ini berkait dengan faktor usia iaitu katarak dan retina," ujarnya.
Namun katanya, masalah yang lebih membimbangkan pula muncul dengan peningkatan mendadak penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis yang mendedahkan pesakit kepada risiko mendapat 'diabetik retinopathy' dan menjadi penyebab buta kekal.
"Amat mengejutkan kajian pada 2006 mendapati hanya 45 peratus pesakit kencing manis pernah menjalani pemeriksaan mata sedangkan mereka perlu membuat ujian itu setahun sekali," ujarnya.
Sehubungan itu, ujar beliau, Terengganu telah merintis program saringan mata menggunakan kamera pada 2008 untuk mengenal pasti masalah dan memberikan rawatan awal.
"Para pengidap diabetis di negeri ini boleh menjalani saringan mata dengan di Klinik Kesihatan (KK) Kuala Besut, KK Bukit Payong, KK Bandar Permaisuri, KK Kerteh, KK Ketengah Jaya, KK Kuala Berang, KK Hiliran, KK Kuala Terengganu dan HSNZ," katanya.
No comments:
Post a Comment