Sunday, October 14, 2012

Kelantan Yakin Tewaskan ATM Julang Piala Malaysia Untuk Treble Musim Ini

Norfarhan (kiri)  tidak dapat diturunkan pada final Piala Malaysia nanti.
Tan Sri Zulkifli
Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak yakin pasukannya akan menjulang Piala Malaysia edisi 2012 dengan mengatasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada final, 20 Oktober ini.

Kejayaan Kelantan menewaskan Selangor 3-0 secara agregat malam kelmarin sekali gus melayakkan pasukan dari pantai timur itu ke pentas akhir.

"Secara statistik, kami merupakan pasukan yang terbaik dan di bahagian pertahanan masih boleh ditingkatkan untuk aksi final nanti.

"Saya berpuas hati dengan persembahan para pemain dan ini merupakan corak permainan yang terbaik," kata Bojan.

Zakuan tonggak ATM lawan Kelantan nanti.

Misi kejuaraan treble Kelantan sedikit tempang apabila terpaksa meratapi kehilangan dua tonggak di bahagian serangan, Mohamed Ghaddar dan Norfarhan Muhammad pada perlawanan akhir dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sabtu ini.

Bukan disebabkan masalah kecederaan tetapi gara-gara kutipan dua kad kuning yang membuatkan mereka berdua terpaksa digantung satu perlawanan dan terpaksa melupakan terus hasrat membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia buat kali kedua.

Biarpun dapat menyingkirkan Selangor dengan penuh bergaya, nada jurulatih Kelantan, Bojan Hodak jelas sedikit resah apabila mengetahui hakikat bakal kehilangan dua tonggak penting yang membawa kemaraan pasukannya ke pentas akhir.

Mengakui terpaksa membayar harga yang mahal, ketiadaan mereka berdua bakal memberikan sedikit kesulitan kepada Kelantan dalam usaha merangkul kejuaraan ketiga selepas menjulang Piala FA dan Liga Super musim ini.

''Kehilangan Ghaddar dan Norfarhan memang menjadi masalah pada kami sekarang apabila sudah mengutip dua kad kuning.

''Memang benar, kami tidak berada dalam keadaan terbaik kerana kedua-dua pemain ini merupakan penjaring gol dalam dua aksi separuh akhir, " katanya yang ditemui selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Selangor dan Kelantan, kelmarin.


Namun, Bojan masih tidak mahu cepat mengalah dan melaungkan keyakinan bahawa pemain lain mampu menggantikan tempat Ghaddar dan Norfarhan di posisi serangan.

Bojan perlu menyusun strategi yang mantap untuk menentang ATM, yang merupakan juara Liga Perdana.

ATM sudah melaungkan janji untuk mempamerkan aksi paling bertenaga dalam misi mereka untuk menjulang piala berprestij itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin berkata, berdasarkan prestasi yang dipamerkan pada perlawanan menentang Lions XII kelmarin, beliau percaya bahawa ATM akan memberikan persembahan yang lebih mantap pada perlawanan akhir nanti.

Menurutnya, ATM telah bermain dengan penuh semangat dan iltizam sehingga berjaya mengakhiri penantian selama 46 tahun untuk layak ke final Piala Malaysia selepas kali terakhir pada 1966 ketika kejohanan Piala H.M.S. Malaya.

"Barisan pemain ATM telah mencipta sejarah apabila berjaya menjejakkan kaki ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan saya begitu percaya bahawa ATM bakal memberikan persembahan yang penuh bertenaga dalam perlawanan akhir nanti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Perbarisan Tamat Latihan Kursus Pegawai Ikhtisas Kor Kesihatan Diraja Siri 77/2012 di Kem Terendak, Sungai Udang, Melaka semalam.

Mengulas mengenai pemberian ganjaran sekiranya pasukan ATM menjuarai Piala Malaysia, Zulkifeli berkata, soal ganjaran itu adalah perkara kedua, sebaliknya anak-anak didik jurulatih, B. Sathianathan perlu melaksanakan tugas untuk menggapai impian bergelar juara pada 20 Oktober ini terlebih dahulu.

"Ganjaran memang ada tetapi saya mahu pemain tidak terlalu mengharapkan imbuhan dulu kerana yang penting mereka perlu tunjukkan aksi paling ampuh dan mantap untuk bergelar juara," katanya.

Menurutnya, sekiranya pemain terlalu mengharapkan ganjaran, pemain mungkin hilang tumpuan kerana peluang beraksi ke perlawanan akhir adalah peluang yang hadir sekali selepas 46 tahun.

Katanya, ATM akan memikirkan habuan terbaik untuk pemain sekiranya mereka merealisasikan impian untuk merangkul piala paling berprestij bola sepak negara.

Kosmo! & Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment