Sunday, October 14, 2012

Agensi Pelancongan Perlu Sedia Khidmat Pemandu Pelancong

Mohd Sabri (kiri) menyampaikan cenderahati kepada wakil sebuah hotel pada Majlis Suaikenal ‘Payang Walk’ kepada sebahagian penggiat industri pelancongan.
Agensi Pelancongan yang didapati tidak menyediakan khidmat pemandu pelancong semasa membawa pengunjung secara berkumpulan, boleh dikenakan denda sehingga RM1,000.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Terengganu, Mohd Sabri Zakaria berkata, perkara itu adalah sedia maklum bagi mereka yang terlibat dalam industri pelancongan. Menurutnya, antara kelebihan yang ada apabila disediakan khidmat pemandu pelancong ialah, lawatan mereka ke sini menjadi lebih menarik dan banyak maklumat mengenai negeri Terengganu dapat disampaikan dari masa ke masa.

“Menjadi satu kesalahan seandainya agensi pelancongan yang membawa pelancong secara berkumpulan tidak menyediakan pemandu pelancong sama ada pelancong domestik mahupun luar.

“Mereka boleh dikenakan denda RM1,000 di bawah Akta Industri Pelancongan. Antara sebab agensi terlibat tidak menyediakan perkhidmatan tersebut, mungkin untuk menjimatkan kos,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media semasa hadir pada Majlis Suaikenal ‘Payang Walk’ kepada sebahagian penggiat industri pelancongan Terengganu di Rebana Hall, Primula Beach Hotel (PBH).

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Pelancongan Negeri Terengganu (PPNT), Wan Mohd Sofian Wan Ishak.

Mengulas lanjut, Mohd Sabri berkata, harapannya agensi pelancongan tidak memandang remeh perkara itu, walaupun tidak boleh memaksa pelancong yang datang secara bersendirian untuk menggunakan khidmat pemandu pelancong semasa datang ke Terengganu.

Katanya, perkara itu juga perlu difikirkan untuk untuk jangka masa panjang, jika perkhidmatan yang disediakan baik, sudah tentu pelancong tidak serik untuk menggunakan lagi agensi terlibat.

Mohd Sabri berkata, setiap pemandu pelancong juga perlu mengikuti paling kurang tiga kursus dalam setahun.

Katanya, sehingga kini seramai 88 orang pemandu pelancong dan 130 agensi pelancongan yang ada di Terengganu.

No comments:

Post a Comment