Tuesday, October 16, 2012
Kementerian Pelajaran Disaran Wujud Subjek Berkaitan Teknologi Hijau
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, mahu melihat sistem pendidikan negara mencapai taraf dunia dan berupaya melahirkan pelajar cemerlang serta menghargai kepentingan memelihara hasil bumi dan alam sekitar.
"Saya menggesa supaya sekolah-sekolah sentiasa mengambil langkah khusus dalam usaha memperkenal dan melaksanakan projek-projek hijau yang asas di sekitar kawasan sekolah masing-masing serta mengamalkan budaya kitar semula.
"Sudah pasti inisiatif seperti ini akan dapat memupuk kesedaran mengenai sistem dan nilai-nilai hijau dalam kalangan pelajar," katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah GreenTech Malaysia di Kuala Lumpur, malam kelmarin.
Ia adalah anjuran Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Green Tech Malaysia. Turut hadir ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan timbalannya, Datuk Noriah Kasnon.
Selain di peringkat sekolah, Muhyiddin menyeru institusi pengajian tinggi awam dan swasta agar menawarkan lebih banyak kursus berkaitan dengan pembangunan ekonomi hijau dan industri teknologi hijau bagi memenuhi permintaan pasaran di Malaysia.
"Ini akan dapat membangun dan menyediakan tenaga kerja dan keupayaan modal insan yang fokus dan berpengetahuan mengenai industri hijau dan pastinya ia dapat memenuhi permintaan pasaran tempatan di masa hadapan," katanya.
Mengenai Anugerah GreenTech Malaysia, beliau berharap pengiktirafan kepada organisasi dan individu yang berjaya akan diteruskan pada tahun-tahun yang mendatang.
No comments:
Post a Comment