Kes demam denggi di Terengganu didapati meningkat 20 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata sepanjang tahun lepas hanya 514 kes dicatatkan, namun tahun ini setakat September lalu, sejumlah 616 kes dicatatkan.
Besut mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus daripada 49 kepada 101 kes, katanya kepada pemberita selepas perasmian Klinik 1Malaysia yang pertama di daerah itu, semalam.
Klinik di Kampung Nyiur Tujuh itu dirasmikan Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Jerteh Datuk Seri Idris Jusoh.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini belum ada kes kematian akibat denggi dilaporkan.
Dalam perkembangan lain, Dr A. Rahman berkata pihaknya bercadang untuk meletakkan tiga pegawai perubatan bertugas sepenuh masa di unit kecemasan hospital yang mempunyai ramai pesakit di seluruh Terengganu, termasuk Hospital Daerah Besut di Jerteh.
Katanya langkah itu bagi memberi keselesaan kepada pesakit yang mendapatkan rawatan di unit kecemasan terutama selepas waktu pejabat dan pada hari cuti minggu serta cuti umum.
Beliau berkata sejak Jun lepas dua pegawai di tempatkan di unit kecemasan bagi menampung keperluan yang sebelum ini ditangani oleh seorang.
No comments:
Post a Comment