Saturday, October 6, 2012

PBSNT Perlukan Bajet Besar Bentuk Skuad Baharu Terengganu


Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) memerlukan peruntukan besar bagi menyiapkan pasukan untuk mengharungi cabaran musim depan, dan mengembalikan keyakinan penyokong yang semakin terhakis.

Presidennya, Datuk Che Mat Jusoh berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan bagi mendapatkan pemain-pemain termasuk dari luar negara dan jurulatih ternama sekali gus memperbetulkan ketempangan dan memastikan skuad dapat bangkit semula.

"Secara umum, kita menjangkakan peruntukan akan mencecah kira-kira RM8 juta dalam mengharungi musim baharu kelak.

"Setakat ini, tujuh jurulatih tempatan sudah melahirkan hasrat untuk melatih skuad Penyu manakala terdapat beberapa bekas pemain Terengganu turut ingin menyertai semula pasukan," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jurulatih yang menjadi perhatian dan juga pemain-pemain yang dikenal pasti ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat tergempar PBSNT di Hotel Permai di Kuala Terengganu malam kelmarin.

Che Mat menambah, sebagai persediaan awal PBSNT juga akan mengadakan pemilihan pemain import baharu dalam masa dua minggu. Selain itu, beliau memberitahu, terdapat pemain-pemain daripada pasukan lain turut melahirkan hasrat untuk menyertai pasukan Terengganu pada musim hadapan.

"Walaupun berdepan pelbagai kesukaran pada musim ini, masih ramai pemain dan jurulatih yang ingin menyertai Terengganu.

"Ia merupakan berita baik terutama kepada penyokong-penyokong bola sepak Terengganu," ujarnya.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai jurulatih Mat Zan Mat Aris, beliau memberitahu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah meminta PBSNT berbincang berhubung masalah penamatan kerja dan imbuhan.

"FAM memberi tempoh sebulan untuk menyelesaikan masalah ini. Kita sudah berbincang dengan beliau (Mat Zan) dan akan memberi laporan kepada FAM dalam masa terdekat.

"Mengenai jurulatih Peter James Butler pula, kita hanya menunggu keputusan FAM. Kita akan akur segala keputusan yang akan dibuat FAM," katanya

Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment