Tuesday, October 16, 2012

LKIM belanja RM42 Juta Biaya Sara Hidup 4,994 Nelayan Di Terengganu


Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membelanjakan sebanyak RM42.2 juta untuk bayaran Elaun Sara Hidup kepada 4,994 orang nelayan di seluruh negeri ini sejak skim itu diperkenalkan pada Ogos 2008.

Pengarah LKIM negeri, Mohd. Safee Mohamad berkata, jumlah perbelanjaan tersebut sehingga September lalu diagihkan kepada setiap nelayan terbabit yang menerima bantuan itu sebanyak RM200 sebulan.

"Ini sebahagian daripada usaha untuk membantu golongan nelayan meringankan bebanan hidup selain merangsang mereka untuk memajukan diri dalam sektor perikanan," ujarnya.

Menurutnya, daripada jumlah penerima itu, seramai 784 orang merupakan nelayan yang berdaftar di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut, PNK Setiu (433), PNK Kuala Terengganu Utara (530), PNK Kuala Terengganu Selatan (867), PNK Marang (655) dan PNK Dungun (681).

"Nelayan lain yang turut mendapat manfaat ialah 143 orang dari PNK Paka, PNK Kemasik (235), PNK Kijal (100) dan PNK Kemaman 566 orang," katanya ketika ditemui di majlis bayaran Elaun Sara Hidup nelayan dari PNK Setiu di Kompleks LKIM Setiu dekat kelmarin.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengerusi LKIM, Datuk Mohd. Jidin Shafee. Mohd. Safee memberitahu, pihaknya juga telah menginsurankan 4,182 orang nelayan di negeri ini setakat ini di bawah skim Insurans Takaful Kemalangan Diri Nelayan.

 "Mereka mendapat perlindungan sebanyak RM100,000 jika kematian akibat kemalangan di laut serta RM50,000 bagi kematian kerana kemalangan di darat selain beberapa faedah lain," ujarnya.

Menurutnya, setiap nelayan yang dilindungi insurans itu perlu membayar RM100 setahun selain mereka mesti berumur 18 tahun hingga 70 tahun.

"Selain faedah itu, LKIM juga mengeluarkan subsidi diesel kepada 1,383 nelayan manakala 1,746 nelayan lagi mendapat subsidi petrol dengan harga RM1.25 seliter.

"Mengenai Insentif Tangkapan Ikan, kerajaan telah membayar sejumlah RM6.7 juta terhadap nelayan terbabit dalam tempoh empat tahun lalu," katanya.

No comments:

Post a Comment