Tuesday, October 16, 2012

AS Setuju Hantar Lebih Ramai Guru Bahasa Inggeris Tahun Depan


Malaysia akan menerima lebih ramai guru-guru Bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat pada tahun depan, selaras dengan usaha Pelan Transformasi Pendidikan Nasional yang mahu meningkatkan tahap penguasaan bahasa itu di kalangan murid-murid.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 25 guru Bahasa Inggeris daripada Amerika Syarikat akan berkhidmat di Malaysia tahun depan, penambahan daripada sejumlah 50 guru tahun ini.

"Dua puluh lima lagi guru Bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat akan membantu murid-murid kita tahun depan. Kita sememangnya mahukan lebih ramai (guru Bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat), tetapi mereka hanya mampu menghantar setakat itu," katanya semalam.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan Guru Muda 1 Malaysia di Pusat Kokurikulum Jabatan Pelajaran Negeri Johor, di Johor Bahru, semalam.

Muhyiddin berkata, kajian kementerian menunjukkan penggunaan guru-guru Bahasa Inggeris dari Amerika Syarikat itu berjaya meningkatkan tahap penguasaan bahasa itu di kalangan murid-murid.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kajian itu menunjukkan murid-murid di mana guru Bahasa Inggeris Amerika Syarikat itu ditempatkan, kini semakin berani untuk bertutur dalam bahasa berkenaan.

Pada 4 Jan tahun ini, 50 guru Bahasa Inggeris Amerika Syarikat itu tiba di negara ini, dan dihantar ke beberapa sekolah di Pahang, Johor dan Terengganu selama 10 bulan mulai 31 Jan lepas.

Pada Jun tahun lepas, beliau juga mengumumkan kira-kira 300 anggota akademik Fulbright daripada Amerika Syarikat akan mengajar Bahasa Inggeris di beberapa sekolah terpilih negara ini.

Program penghantaran guru bahasa Inggeris itu adalah berdasarkan kepada perkongsian komitmen di antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama, bagi memperluas program pertukaran rakyat dengan rakyat antara Amerika dan Malaysia.


No comments:

Post a Comment