Bekas jurulatih Terengganu, Mat Zan Mat Aris, mengakui reputasinya sebagai jurulatih terjejas selain maruahnya tercalar berikutan kemelutnya bersama Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) belum menemui titik penyelesaian biarpun sudah berlarutan hampir lima bulan.
Malah, lebih menyedihkan jurulatih berusia 54 tahun itu yang pernah membawa Terengganu mencatat sejarah kali pertama menjulang Piala Malaysia 2001 berdepan masalah kewangan dan hanya mengharapkan baki simpanan untuk perbelanjaan keluarga selepas tidak mempunyai gaji sejak Jun lalu.
“Selagi masalah ini tidak selesai, tidak mungkin saya menerima tawaran pasukan lain kerana takut ambil saya sebagai jurulatih.
“Apapun saya tetap reda biarpun tidak menyangka sama sekali perkara ini berlaku dalam hidup saya.
“Cuma saya berharap suatu hari nanti akan ada rezeki saya mencurah bakti dengan pasukan lain,” katanya yang mempunyai empat anak hasil perkongsian hidup dengan Salmiyah Aziz, 51.
Rabu lalu, rundingan terakhir antara Mat Zan dan PBSNT berhubung isu tuntutan gaji penamatan kontraknya belum ada kata putus selepas permintaan pampasan gaji sehingga November tidak dipersetujui.
Menurut Mat Zan, biarpun PBSNT menawarkan tambahan beberapa bulan gaji berbanding sebulan sebelum ini, tawaran itu belum mampu memikat hatinya memandangkan kos perbelanjaan harian keluarganya termasuk berulang alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu adalah tinggi.
“Saya terpaksa tolak kerana ia tidak memenuhi seperti apa yang saya minta kerana kontrak hanya tamat pada November 2013,” katanya.
Mat Zan berkata, beliau bukan ‘mata duitan’ tapi meminta PBSNT bersikap adil kepadanya yang hanya bergantung kepada kerjaya jurulatih sebagai sumber pencarian rezeki.
Harian Metro
No comments:
Post a Comment