Satu projek perintis untuk mendidik pelajar mengenai bahaya seks luar nikah diperkenalkan sebagai sebahagian daripada kokurikulum sekolah pada bulan lepas, yang merupakan cara untuk mencegah kehamilan di kalangan gadis di bawah 16 tahun.
Pelaksanaan itu merupakan antara langkah yang diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menangani isu sosial yang mencatatkan lebih 6,000 kehamilan dan kelahiran yang melibatkan gadis di bawah usia 16 tahun sejak tahun 2000.
“Berdasarkan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sejumlah 6,820 kehamilan dan kelahiran melibatkan gadis di bawah 16 tahun telah direkodkan antara 2000 dan 9 Oktober 2012,” kata menteri dalam jawapan bertulis kepada Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam) di Dewan Rakyat.
Projek perintis itu merupakan kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, mengajar murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga mengenai risiko dan bahaya seks menerusi program Kesihatan Reproduktif dan Sosial.
Program itu berdasarkan modul Kesihatan Reproduktif Remaja oleh Persatuan Kesihatan Reproduktif Persekutuan.
“Program ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada kokurikulum untuk Tahun Enam dan Tingkatan Tiga selepas peperiksaan UPSR dan PMR, serta pelajar yang menjalani peperiksaan khas di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara mulai September,” katanya.
Kementerian itu berkata, terdapat 67 guru diberi latihan untuk mengajar 1,360 pelajar mengenai bahaya dan risiko seks sebelum berkahwin semasa program itu diadakan antara 8 dan 10 September.
No comments:
Post a Comment