Friday, October 26, 2012

Mohram Dekati Terengganu Melalui Latar Alam, Kehidupan Masyarakat


Latar alam Terengganu dan kehidupan masyarakat di negeri ini memberi inspirasi kepada Mohram, kumpulan muzik fusion etnik yang dianggotai oleh Mohar dan Ramli untuk muncul dengan album terbaru berjudul Alam.

Kunjungan ke Terengganu sekitar dua tahun lalu, membawa kepada penghasilan album ketiga Mohram selepas Sakti (2001) dan Antarssukha (2004) yang ternyata memberi nafas baru kepada perjalanan muzik yang mereka perjuangkan.

Mohram mengekspresikan alunan seruling tiupan Mohar dan paluan rebana Ramli bersandarkan muzik nusantara yang menjadi jiwa kumpulan itu untuk berkisah tentang evolusi kehidupan dan kemanusiaan.

Menurut Ramli, album ketiga ini menampilkan kelainan apabila buat pertama kalinya ia menampilkan dua versi dengan memuatkan gabungan muzik instrumental bersama vokal yang tidak pernah dilakukan pada dua album mereka sebelum ini.

Album yang dirakamkan sejak November tahun lalu itu menampilkan muzik etnik berjaya mengembalikan 'jiwa' Mohram malah kali ini alunan muzik yang digubah lebih teliti sehingga menyerlahkan kematangan muzik mereka. Ujar Ramli, mereka mengambil masa yang panjang kerana terlalu mencari kualiti berbanding kuantiti album, menyebabkan idea-idea yang datang dibungkus rapat di dalam kotak fikiran selain enggan hanya mengejar populariti irama komersial.

"Kami sudah lama mahu menghasilkan album seperti ini dan kunjungan ke Terengganu adalah pembuka laluannya di mana ketika berada di negeri ini, idea datang mencurah-curah berdasarkan pemerhatian alam.

"Ketika itu pula adalah musim tengkujuh, dengan cuaca mendung, sejuk dan menenangkan, menyebabkan kami sangat mudah untuk mencipta melodi.

"Vokal pula adalah sebagai hadiah dan penghargaan buat peminat kami yang sering memberi cadangan agar kami memainkan muzik intrumen bersama vokal dan kami pilih beberapa lagu untuk kami nyanyikan dan pastinya ia berkisarkan alam," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini baru-baru ini.

Bagi Mohar pula, pemilihan Terengganu sebagai subjek dalam album ketiganya itu dilihat satu penghargaan buat negeri itu yang berusaha untuk memartabatkan dan memperkasakan kesenian Islam dengan kepelbagaian produk termasuk hiburan.

Ia turut mendorong Mohram berkerjasama dengan TTI dalam usaha untuk meletakkan taman tema berunsur kesenian Islam itu di mata dunia yang mana Mohram sebagai duta untuk memperkenalkan muzik Malaysia dan TTI.

 "Simbolik kepada kerjasama itu, kita telah mencipta sebuah lagu berjudul Cahaya Di Taman Suci khas untuk TTI dan ia akan dipasang dan menjadi lagu wajib TTI dalam mana-mana penganjuran yang diadakan di situ," kata Mohar.

Mohram turut diberi penghormatan pada penganjuran Festival Kesenian Islam Antarabangsa Terengganu (TIIAF) 2012 yang berlangsung TTI selama empat hari untuk memperkenalkan 'musikhat' pada persembahan muzikal Islam melalui Konsert Amanat Musikhat selama dua hari berturut-turut.

Amanat Musikhat diinpirasikan melalui ekspresi kehidupan dan kesenian ketamadunan Islam sejagat; menonjolkan sejarah tamadun Islam nusantara yang mempengaruhi cara hidup, budaya dan tradisi masyarakatnya sehingga kini.

Konsep muzikal akustik itu diterajui oleh Mohram sambil diiringi oleh Alwi al-Haddad melalui penyampaian qasidahnya termasuk alunan gamelan daripada Suktra Terengganu dengan mempersembahkan sebanyak 12 lagu dari ketiga-tiga album Mohram.

Persembahan turut diselang-selikan dengan qasidah dan zikir menceritakan tentang kedatangan Islam ke rantau Nusantara yang diarahkan oleh pengarah muzik terkenal, Farihin Abdul Fatah selain penampilan khas kaligrafer kelahiran Iran iaitu Bahman Pahani yang bermain alat muzik tradisional Arab.

No comments:

Post a Comment