Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucapan takziah dan melahirkan rasa simpati kepada ibu pelajar sekolah, K. Saravanan yang meninggal dunia selepas dipercayai ditumbuk dua pelajar dalam pergaduhan pada Rabu lepas.
Ucapan takziah tersebut disampaikan Setiausaha Politik Menteri Pelajaran itu, Datuk Mohd Nardin Awang yang menziarahi keluarga mendiang di Taman Rumbia Setia di Alor Gajah, semalam.
Mohd Nardin berkata Muhyiddin turut melahirkan rasa kesal dengan insiden tersebut dan memberi jaminan mereka yang terlibat dalam kejadian itu akan diambil tindakan mengikut undang-undang.
"Beliau (Muhyiddin) berharap keluarga mendiang bersabar dan dapat melalui situasi ini dengan baik," katanya kepada pemberita. Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi Muhyiddin kepada ibu Saravanan, N. Malar, 34.
Sementara itu, Mohd Nardin berkata ibu tunggal itu masih berada dalam keadaan tertekan selepas kehilangan satu-satunya anaknya.
Katanya pekerja kilang itu juga memohon agar pihak berwajib dapat mengambiltindakan sewajarnya berhubung kejadian itu.
Dalam kejadian kira-kira 2.30 petang, 24 Okt lepas, Saravanan, 14, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Sebang maut dipercayai ditumbuk dua lagi pelajar dalam satu pergaduhan di perhentian bas Pulau Sebang dekat sini.
Kedua-dua pelajar terlibat telah ditahan polis pada 6 petang hari sama bagi membantu siasatan.
No comments:
Post a Comment