Sunday, October 7, 2012
Najib, Isteri Hadir Majlis Kesyukuran Perkahwinan Anak MB
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menghadiri majlis khenduri kesyukuran perkahwinan anak sulung Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di kediamannya di Telok Kalong, Kijal, Kemaman.
Najib dan Rosmah turut merenjis air mawar dan beramah mesra dengan pasangan pengantin Nor Asdayana Ahmad, 27 dan pasangannya, Mohd Hafiz Adnan 24.
Perdana Menteri dan isteri turut menjamu selera bersama pengantin dan keluarga Ahmad dan isterinya Toh Puan Norliza Mahmud.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Tengku Putera Tengku Awang, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan pemimpin Barisan Nasional (BN) yang lain.
Nor Asdayana ketika ditemui pemberita berkata, kehadiran Perdana Menteri dan isteri pada majlis perkahwinannya adalah satu hadiah yang paling bermakna, sambil berterima kasih di atas kesudian Perdana Menteri menghadiri majlis itu walaupun beliau sibuk dengan urusan negara.
"Saya rasa sangat puas hati Perdana Menteri dan isteri dapat datang meskipun tugas sebagai orang Nombor Satu negara sangat sibuk," katanya.
Kira-kira 10,000 tetamu hadir pada majlis perkahwinan itu.
Nor Asdayana dan suami mengikat tali pertunangan pada 15 Oktober tahun lalu, diijabkabul di kediaman rasmi menteri besar di Seri Iman, Kuala Terengganu pada 21 September lalu manakala majlis persandingan pula diadakan di Taman Tamadun Islam, di Kuala Terengganu keesokkan harinya.
Sebelum itu, Najib merasmikan majlis pecah tanah Loji Bio-Metionina dan Tiokimia bersepadu RM2 bilion itu di kawasan seluas 70 hektar di Taman Biopolimer Kerteh, di Kemaman.
Projek industri bioteknologi itu adalah projek kerjasama antara CJ CheilJedang dari Korea Selatan dan platform tiokimia Arkema dari Perancis yang bakal beroperasi pada Disember 2013
Sebelum berlepas pulang ke ibu negara, Najib sempat melawat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Datuk Abu Bakar Ali, 66, yang menghidap penyakit 'Spondylosis' di Kampung Baru Kertih.
No comments:
Post a Comment