Tuesday, October 16, 2012

PBT, Jabatan Kerajaan Perlu Guna BM Dalam Urusan Rasmi - MB


Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan jabatan kerajaan di Terengganu di minta menggunakan bahasa kebangsaan dalam pelbagai urusan, terutama berkaitan papan iklan, majlis dan surat rasmi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata kerajaan negeri memandang serius mengenai perkara ini kerana masih terdapat pihak berkaitan gagal mempraktikkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul.

“Sebaliknya, mereka lebih gemar menggunakan bahasa inggeris dalam menyiapkan sebarang tugasan seperti surat pekeliling, surat arahan dan minit mesyuarat.

“Kita sewajarnya memandang serius perkara ini kerana sudah termaktub dalam surat pekeliling awam,” katanya  sempena Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2012, di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk  Rahin Mohd Said. Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Dato' Haji Wan Ahamad Wan Muda; Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Rusli Abdul Ghani dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Kira-kira 1,000 peserta hadir pada majlis yang turut diserikan dengan persembahan koir, deklamasi puisi dan sketsa.

Menteri Besar berkata, program bulan bahasa kebangsaan adalah kesinambungan usaha kerajaan untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Oleh itu, saya menggesa rakyat pelbagai kaum supaya memperbaharui iltizam dan azam, memantapkan kualiti sahsiah serta mengenali jati diri sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

No comments:

Post a Comment