Thursday, October 25, 2012

Pemain Hoki Kelahiran Terengganu Diajak Sertai Pasukan Negeri


Pemain yang berasal dari Terengganu yang kini bermain bersama pasukan lain dalam Liga Hoki Kebangsaan serta pasukan kebangsaan diajak menyertai pasukan negeri ini pada kejohanan Liga Hoki Kebangsaan musim depan.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata terdapat ramai anak tempatan yang kini mewakili pasukan ternama dalam Liga Hoki Kebangsaan dan mereka boleh membantu pasukan Terengganu yang buat pertama kali akan menyertai kejohanan itu.

Ahmad Said berkata, mulai tahun depan Terengganu akan mewujudkan pasukan sendiri yang diurus secara profesional dan akan menyertai Liga Hoki Kebangsaan yang sebelum ini hanya disertai oleh Kelab-kelab dari agensi kerajaan dan swasta.

“Usaha ini adalah untuk memastikan bakat-bakat pemain tidak terpendam begitu sahaja, kerana rugi jika mereka tidak menyertai apa-apa pertandingan dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.

Sehubungan itu, pemain akan didedahkan dengan menyertai pelbagai kejohanan dan perlawanan persahabatan untuk menambah stamina mereka.

“Setakat ini, terdapat lima orang atlet dari negeri ini yang mewakili negara dan berharap setelah kita mempunyai pasukan nanti lebih ramai muncul pemain yang boleh bermain dengan pasukan negara,” katanya.

Menteri Besar kemudiannya meminta Presiden Persatuan Hoki Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid supaya berurusan secara terperinci dengan pihak hoki kebangsaan untuk mengetahui syarat-syarat penyertaan Liga Hoki Kebangsaan bagi memastikan Terengganu dapat menyertai liga itu kelak.

Beliau seterusnya melahirkan rasa bangga dan berterima kasih kepada semua pemain dan pengurusan kerana telah mengharumkan nama negeri dalam acara hoki di negara ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insentif kepada pemain dan pengurus pasukan hoki Terengganu yang julung-julung kali memenangi Kejohanan Hoki Piala Tun Razak edisi ke-50 malam Isnin lalu.

Pemain dan pegawai Persatuan Hoki Negeri Terengganu menerima RM3,000 seorang di atas kejayaan itu yang menurut Ahmad jumlah insentif akan ditambah sekiranya menang lagi di musim depan.

No comments:

Post a Comment